“Ni Kalau Tak Sampai Atas Ni, Malu Kat Orang Kampung!” – Azhan Rani Tawan EBC, 31 Ogos Ini

Fiza Kamarudin
Ogos 8, 2019 01:53 MYT
Unik betul cara pelakon Azhan Rani rai bulan kemerdekaan! Azhan bakal menawan Everest Base Camp (EBC), Nepal bermula 31 Ogos hingga 16 September ini.
Azhan yang mengikuti misi Mengibarkan Bendera Malaysia itu memberitahu, eskpedisinya akan disertai seramai 27 orang.
Selain EBC, Azhan akan turut mendaki Gunung Kallapathar yang terletak berdekatan.
“Jika tiada aral melintang, impian yang selama ini dipendamkan bakal menjadi kenyataan. Sudah pastinya saya teruja kerana ini adalah pengalaman kali pertama yang pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
“Lebih manis lagi, apabila rombongan ini turut membawa bersama misi patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang terbesar pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut,” katanya kepada Utusan Online.
Sementara itu di laman sosial Instagram Azhan berkongsi rasa teruja untuk memulakan ekspedisi bersama kumpulan Summit Attack Resources yang pernah membawa vokalis kumpulan rock lagenda, Amy Search menawan Annapurna Base Camp (ABC), Nepal, tidak lama dulu.
“Ni kalau tak sampai atas gak ni, malu kat orang kampung…Gambar dengan cerita dah poyo habis dah ni…Macam #wahhebatnyakamuyakinnyakamu sangat-sangat ni.
“Sebenarnya cabaran ke EBC ini adalah di antara kemahuan dan kemampuan aku juga, kemahuan itu dah melampau tinggi mengalahkan everest dah.
“Mohon doakan kelancaran perjalanan team kami nanti seramai 27 orang selamat pergi dan selamat balik, semoga misi ini dipermudahkan,” tulisnya merujuk kepada berita mengenai kepergiannya ke sana yang ditulis media.
#pelakon #Pelakon #Azhan Rani #Sambut Merdeka