Penyanyi dan pelakon Ning Baizura mengamalkan kaedah diet Intermittent Fasting (IF) sebagai persiapan sebelum berpuasa di bulan Ramadan.

Kata Ning ia sebagai menguji ketahanan fizikal dan mental sebelum berpuasa.

“Persiapan untuk bulan Ramadan bias-biasa sahaja, cuma otak ni dah mula bersiap untuk berpuasa sebelum ini lagi.

“Sebenarnya saya dah mula amalkan diet IF, itu antara persiapan saya supaya saya dapat bertahan dan berpuasa sekurang-kurangnya 12 hingga 14 jam dalam diet ini.

“Selain mahu kuruskan badan ia sebagai persiapan emosi dan mental. Bila kita dah mulakan itu dulu sebelum puasa insya-Allah kita boleh berpuasa di bulan Ramadan ini,” katanya kepada Gempak.

Ning berkata demikian ketika ditemui pada acara majlis pra-tonton drama bersiri premium berjudul KUASA yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur sebelum ini.

Mengulas mengenai drama premium terbaharu lakonannya dalam KUASA, Ning memberitahu ia merupakan peluangnya untuk kembali dalam bidang lakonan setelah sekian lama.

“Bila saya diberi tawaran untuk berlakon dalam drama ini saya rasa ini lah peluang saya untuk kembali balik ke dunia lakonan.

“Rasanya ini rezeki saya untuk mengetengahkan ‘new’ Ning yang orang dah lama lupa. Alhamdulilah dalam drama ini saya dapat sesuatu set dan watak yang ‘powerful’,” ulasnya.

Selain Ning, KUASA yang merupakan Astro Original siri itu membariskan gabungan pelakon senior dan baru seperti Nazim Othman, Ridzuan Hashim, Nadia Brian, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.

Drama yang bakal menemui penonton mulai 11 April ini mengetengahkan kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan yang hidup penuh dengan glamor, kemasyhuran, kerakusan kuasa dan pengkhianatan.

KUASA menceritakan kehidupan sebuah keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan, bersama tiga orang anak yang bakal mewarisi legasinya. Setiap ahli keluarga mempunyai agenda masing-masing demi menguasai empayar.

Saksikan KUASA yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 11April ini. Anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

Foto kredit: Astro/ Azrul Rafie