Antarabangsa
Nissan GT-R R35 versi 2020 dapat set turbo baharu
Nissan GT-R R35 kini sudah berusia 12 tahun tetapi ia masih menjadi antara model digemari kaki-kaki kereta disebabkan prestasinya setanding dengan wang yang anda belanjakan.
Bagi memastikan model yang lebih sedekad itu kekal relevan, Nissan sudah melakukan beberapa peningkatan bagi menambah baik prestasinya.
Model tahun 2020 GT-R ini masih menggunakan enjin jenis 3.8 liter VR38DETT V6 dengan tambahan dua pengecas turbo.
Bagaimanapun, ia menerima set turbo baharu yang membantu prestasi lebih cemerlang ketika pemanduan perlahan dan penjimatan bahan api kira-kira 5 peratus. Manifold turut ditambah baik.
Setakat ini, tiada maklumat dibekalkan mengenai kuasa enjin dengan penambahbaikan itu. Berdasarkan rekod semasa, jentera ini boleh mencapai kelajuan maksimum 315 kilometer sejam (km/j). Untuk mencapai kelajuan 100km/j daripada keadaan statik, ia mengambil masa hanya 2.7 saat.
Kotak gear nampaknya ada sentuhan baharu dan ia mengurangkan masa penukaran gear sebanyak 0.15 saat jika tetapan berada dalam mode R.
Beralih kepada sistem suspensi, jurutera Nissan melakukan beberapa penambahbaikan untuk menjadikannya lebih selesa dan stabil semasa pecutan.
Kualiti stereng ditingkatkan untuk mendapatkan kawalan yang lebih jitu dan tepat khususnya ketika pembelokan.
Nampaknya ada penghormatan diberikan kepada model Nissan Skyline R34 GT-R. Model GT-R 35 ini didatangkan dengan pilihan warna Bayside Blue.
Tawaran lain ialah rim 20 inci baharu dan upholistri material kulit berwarna kelabu. Perendam ekzos titanium juga baharu dengan muncungnya berwarna biru.
Must-Watch Video