Berita
Fenomena ‘Hidup, Mati Sendiri' Membimbangkan
Fenomena ‘hidup dan mati sendiri’ menjadi suatu perkara yang semakin membimbangkan apabila semakin ramai individu terutama warga emas ditemui meninggal dunia seorang diri tanpa ditemui oleh waris atau kenalan mereka.
Situasi tersebut boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan emosi dan fizikal individu, selain meningkatkan beban kepada pihak berkuasa untuk menguruskan kes kematian tanpa waris.
Pendedahan Sinar Harian pada Ahad menunjukkan, kes kematian secara bersendirian semakin kerap dilaporkan, malah di Perlis yang penduduknya tidak sampai 300,000 orang telah mencatatkan sebanyak 80 kes dari tahun 2022 hingga Ogos 2024.
Menyentuh mengenai perkara itu, Penasihat Khas Persatuan Sains Sosial Malaysia, Felo Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong berkata, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2021 menunjukkan negara berada pada kedudukan ketiga di ASEAN paling ramai pendudukan berstatus bujang iaitu 44.7 peratus.
Menurutnya, Malaysia berdepan cabaran penuaan penduduk dan fenomena negara menua sebelum mencapai status negara maju.
Fenomena itu jelas menunjukkan trend peningkatan individu hidup bersendirian di Malaysia, sekali gus menuntut perhatian lebih serius daripada segi sokongan sosial dan dasar kerajaan.
Langkah proaktif perlu diambil bagi mengelakkan kesan negatif terhadap kesejahteraan masyarakat pada masa akan datang.
Terbaharu, menurut sumber daripada Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, terdapat beberapa golongan berisiko mati sendirian antaranya ialah, warga emas yang belum berkahwin atau tiada anak, pesakit kronik, individu mengalami gangguan mental, kesunyian atau kemurungan, golongan miskin dan gelandangan serta orang kurang upaya (OKU).
Antara kes kematian sendirian dilaporkan berlaku di Malaysia adalah pada 26 Mei 2024, yang mana seorang wanita berusia 46 tahun tinggal seorang diri, ditemui meninggal dalam rumahnya di Taman Putra Perdana, Putrajaya akibat penyakit kronik.
Selain itu, pada 2 Januari lalu, seorang lelaki, Johari Musa, 49, yang tinggal bersendirian dan mempunyai penyakit kronik termasuk tuberkulosis serta kencing manis ditemui meninggal dunia di rumahnya di Kampung Kuala Ping, Kuala Berang, Terengganu.
Terdapat juga kes melibatkan seorang lelaki, S Santhekasakar, 44, yang tinggal seorang diri dan mempunyai rekod penyakit kencing manis kronik ditemui meninggal dunia di sebuah rumah berkunci di Kampung Boyan, Taiping, Perak pada 7 Januari lalu.
Oleh itu, baru-baru ini tinjauan Sinar Harian mendapati, kerisauan terhadap ibu bapa yang tinggal tanpa pengawasan anak-anak mendorong mereka mencari alternatif dengan membelanjakan wang bagi membeli peralatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) agar dapat membantu memudahkan pemantauan keadaan ibu bapa di rumah dari jauh.
Dalam pada itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla’ berkata, kematian seseorang secara bersendirian tidak bermakna menunjukkan berlakunya pengabaian oleh waris.
Jelasnya, setiap kes perlu dinilai berdasarkan fakta dan keadaan khusus serta tidak wajar meletakkan tanggungjawab secara automatik kepada waris tanpa bukti pengabaian atau kesalahan jenayah.
Secara keseluruhannya, situasi tersebut jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh jaringan sokongan sosial bagi menangani peningkatan kes kematian bersendirian, terutama dalam kalangan warga emas dan individu berisiko.
Jadi, kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat amat penting bagi membendung kes terpencil daripada terus meningkat, sekali gus memastikan tiada individu dibiarkan hidup dalam kesunyian tanpa sokongan yang sewajarnya.
Sumber - Sinar Harian
Must-Watch Video