HIBURAN

Norlia Ghani Akhirnya Buka Mulut Kes Cerai Rusdi Ramli-Sharon Paul - "Mereka Sudah Bercerai Sejak ..."

Gempak 13/07/2025 | 06:55 MYT
Pelakon veteran Norlia Ghani menghormati keputusan anaknya, Rusdi Ramli dan bekas menantunya, Sharon Paul untuk berpisah.

Norlia turut memaklumkan bahawa dia telah mengetahui tentang perceraian tersebut lebih awal daripada Rusdi sendiri, namun memilih untuk tidak berkongsi perkara itu secara terbuka.

“Saya hormati keputusan mereka untuk berpisah kerana akur hanya setakat itu jodoh mereka.

“Sebenarnya, saya sudah lama tahu mereka bercerai cuma saya tidak berkongsi dengan pihak media.

“Mereka sudah bercerai sejak Januari tahun lalu dan perkara itu sudah lama selesai. Cuma baru sekarang, Sharon buat kenyataan mengenainya.

“Memang semua ibu bapa mahukan rumah tangga anak mereka bahagia dan berkekalan, tapi kalau sudah jodoh mereka setakat itu sahaja kita kena terimalah,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika diminta mengulas kenyataan Sharon yang mendakwa pernah melalui situasi 'cold violence' sepanjang perkahwinan, Norlia berpendapat bahawa tidak wajar untuk pasangan saling membuka aib masing-masing di khalayak.

“Rusdi memang seorang yang pendiam dan kalau ada masalah dia memang suka berdiam diri dan selesaikan masalahnya secara diam-diam juga.

“Saya lebih suka Rusdi berdiam diri dari memberi kenyataan kepada pihak media serta membuka aib pasangan. Dia tidak menjawab panggilan dari media mungkin kerana berada di lokasi penggambaran sekarang.

"Ini kisah rumah tangga kita buat apa nak cerita pada orang? Bila suka kita beritahu satu dunia, bila bercerai berai macam itu ada orang boleh tolong?” katanya lagi.

Sebelum ini, Sharon mengesahkan bahawa perkahwinannya dengan Rusdi telah berakhir sejak awal tahun lalu selepas kedua-dua pihak gagal menemui jalan penyelesaian. Terdapat juga khabar angin sebelum ini yang mengatakan rumah tangga mereka semakin renggang dan tidak sehaluan.

Sharon dan Rusdi mendirikan rumah tangga pada tahun 2008 dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Ayden Ridza dan Ryan Ridza yang kini tinggal bersama Sharon. Rusdi turut mempunyai seorang anak lelaki, Efiezal Ridza, hasil perkahwinan terdahulu.

Sumber: Harian Metro
#pelakon #Viral #cerai #Norlia Ghani #Sharon Paul #Rushdi Ramli