Pelakon veteran Normah Damanhuri berkongsi berita gembira bakal menimang cucu ke-17 selepas isteri Ahya Rosli pula disahkan hamil.

Lebih menggembirakan, apabila berita kehamilan tersebut diketahui ketika bulan Ramadan sekaligus menamatkan penantian Ahya dan isteri selama dua tahun selepas berumah tangga pada Mac 2019.

Normah mengucapkan rasa syukur kerana bakal menimang dua orang cucu pada tahun hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

“Di bulan Ramadan yang mulia ini dapat dua cucu..jantung hati ku Ahya & Ira tahniah.. ini cucu ku yang ke-17.

“Syukur Alhamdulillah..Happynya mama..Ya Allah Ya Tuhan ku tolong jaga dia untuk ku..Sihatkan lah tubuh badannya sehingga melahirkan.

“Kurniakanlah kepadanya anak yang soleh Aamiin Aamiin yarobbalalamiin…,” tulisnya pada ruangan kapsten.

Berita tersebut turut dikongsi Liyana Rosli atau lebih mesra dengan panggilan Kak KM menerusi rakaman video di laman sosial Instagram (IG).

Menerusi video tersebut, Kak KM meletakkan kit kehamilan di atas meja dan melakukan ujian di hadapan ahli keluarga lain.

Teruja apabila melihat ujian positif, Kak KM mengucapkan tahniah sambil memeluk erat adik iparnya, Shahirah Sanusi.

Shahirah dan Ahya ketika itu masing-masing kelihatan terkejut dan seakan tidak percaya dengan keputusan yang diperolehi.

“Alhamdulillah syukur dapat anak buah lagi…,” tulis Kak KM pada ruangan kapsyen.

A post shared by lianarosli (@lianarosli_official)