Pelakon drama bersiri The Maid, Norman Hakim membuat kejutan kepada anaknya, Muhammad Darwisz Hakim sempena ulang tahun kelahiran yang kelapan.

Menerusi posting terbaharu di akaun Instagramnya, Norman berkongsi video pendek merakamkan gelagat anaknya.

Menurut Norman, untuk menjayakan misi kejutan itu dia terpaksa menipu Darwisz dengan mengatakan mahu membawanya bersunat.

“Daripada awal memang dah beritahu dia tahun ni kita tak boleh nak jalan-jalan sambut hari jadi sebab PKP tak boleh pergi mana-mana.

“Jadi tahun ini beritahu dia, kita ‘sunat’ sahajalah nak? Tiba-tiba dia kata okay dan macam teruja.

“Jadi kitorang rancang konon-konon nak bawa dia pergi sunat tapi sebenarnya semua dah tunggu kat rumah abah, mama dah bersedia untuk ‘kejutkan’ dia.

“Maka pendekkan cerita, ini adalah sambutan paling ringkas untuk #awishzturns8 pre-celebration.

“Ringkas-ringkas dan keluarga kita-kita sahaja. Yang penting ada kenangan manis untuk dia masuk umur 8 tahun. Alhamdulillah, terima kasih Ya Rabb untuk kasih sayang ini,” coretnya.

A post shared by Khalifah Allah (@normanhakim_786)


Dalam pada itu, video tersebut juga menunjukkan wajah Darwisz yang terkejut dan malu-malu sebelum menyorokkan wajah sambil memeluk pinggang bapanya.

Terdahulu, Norman pernah berkahwin dengan Abby Abadi pada tahun 2002 dan bercerai pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan itu, Norman dan Abby dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim.

Kini Norman dan Memey mendirikan rumah tangga sejak 2011 dan mempunyai tiga cahaya mata, Muhammad Darwisz Hakim, Muhammad Dikhriz Hakim dan Mikayla Dalisha Hakim.

Terkini, Norman muncul dalam drama The Maid bersama barisan pelakon hebat seperti Sherry Alhadad, Mira Filzah, Datin Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Ieda Moin, Nadya Syahera, Zarina Zainoordin, pengacara Gempak, Isha Norsham dan Siti Khadijah.

The Maid mengisahkan seorang lelaki bernama Jayden seorang penulis novel yang popular. Di mata masyarakat, Jayden dan empat isterinya hidup dengan penuh harmoni dan kasih sayang tetapi sebenarnya tidak. Setiap daripada mereka membenci antara satu sama lain dan hanya berpura-pura bahagia.

Bagaimanapun, hanya pembantu rumah mereka sahaja tahu cerita sebenarnya. Konflik timbul bermula dengan kematian isteri keempat Jay iaitu Elisa lakonan Mira Filzah. Elisa dijumpai mati ketika Jay dan isteri-isterinya mengadakan makan malam dan ketiga-tiga isteri Jay yang lain merupakan suspek pembunuhan.

Penyiasatan bermula dan rahsia demi rahsia milik isteri Jay telah dibongkar. Situasi menjadi lebih misteri apabila Citra lakonan Siti Khadijah Halim muncul sebagai pembantu rumah yang baru.

Siapakah dalang di sebalik kematian Elisa?

Semuanya bakal dibongkar dalam drama bersiri THE MAID setiap Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104). Anda juga boleh strim di Astro GO dan On Demand.