Bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2014 (AF2014) Nuha sanggup mengambil risiko menukar namanya kepada Sam Nuhair.

Menurut Sam atau nama sebenarnya Syamila Nurhair Zainordi dia mahu dikenali dengan nama tersebut kerana ‘Nuha’ merupakan nama adiknya.

“Saya ingin ambil kesempatan untuk memberitahu mengenai penukaran nama daripada Nuha kepada Sam Nuhair.

“Tidak ada kaitan dengan tuah cuma saya ingin jelaskan bahawa Nuha itu sebenarnya nama adik saya.

“Saya menggunakan nama Nuha kerana terlibat dengan AF2014 dan nama panggilan itu diberikan oleh pihak produksi.

“Kini kalau boleh saya ingin dikenali sebagai Sam Nuhair kerana itu adalah nama saya.

“Saya tahu tindakan ini agak berisiko kerana ramai yang kenal saya dengan nama Nuha, tapi tak apalah kalau tidak sampai bila nak guna nama adik,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Sam lagi, penggunaan nama barunya itu menambahkan keyakinan dalam dirinya.

“Sebelum tukar nama pun saya dah tanya pendapat orang, dan saya rasa bila dah guna nama sendiri rasa lebih yakin pula.

“Bila orang panggil tidaklah kita terasa kekok, pernah dulu saya sendiri terlupa yang saya guna nama Nuha. Jadi saya rasa tak salah kalau nak tukar balik kepada nama saya sendiri kan,” ujarnya.

Dalam perkembangan terbaru, Sam muncul dengan single terbaru berjudul Kau Menjauh yang dicipta olehnya ketika masih berada di alam persekolahan.

Kau Menjauh mengisahkan tentang seorang kekasih yang berlaku curang.

Teks oleh: Mya Amri