Hiburan

Ogy Tiada Niat Aibkan Sesiapa Dalam Teater Di Sebalik Topeng, Hanya Usik-Usik! - "Ia Realiti Sekarang"

gempak
Amri Hassan
19/10/2024
06:16 MYT
Sponsor Banner
Ogy Tiada Niat Aibkan Sesiapa Dalam Teater Di Sebalik Topeng, Hanya Usik-Usik! - "Ia Realiti Sekarang"
Pelakon dan penerbit terkenal, Fauziah Ahmad Daud tiada niat untuk mengaibkan sesiapa menerusi teater terbitannya berjudul Di Sebalik Topeng, sebaliknya sekadar ingin mengusik isu-isu semasa yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.

BERITA TRENDING: Ogy Ahmad Daud Nasihat Pelakon Baru Perbaiki Lakonan & Tidak Perlekeh Impian Menang Oscar

BERITA TRENDING: “Saya Tak Cakap Pun Saya Nak Menikah” - Fauziah Ahmad Daud

Fauziah atau mesra disapa Ogy berkata, sekiranya terdapat netizen yang mensensasikan dialog atau jalan cerita yang dilontarkan, dia tidak ambil peduli kerana karya yang dihasilkan mencerminkan realiti yang berlaku dalam masyarakat kini.
“Netizen kadang-kadang kita buat sesuatu perkara pun mereka akan kecam. Seperti dialog saya dalam teater ini, mereka suka ‘mengorek’ cerita.
“Apa saja cerita saya yang tidak ‘FYP’ (trending), sampai saya kadang-kadang pun terfikir, cerita apa ni?
“Apa yang dipersembahkan itu adalah cerita benar dan realiti sekarang. Saya tidak rasa sudah buat sesuatu yang salah sebab kami tidak mengaibkan sesiapa. Saya pun tahu Akta Media Sosial,” katanya pada majlis pra-tonton teater Di Sebalik Topeng yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut Ogy, dia berharap mesej yang disampaikan melalui teater itu dapat membuka mata segelintir pihak mengenai kesan negatif komen atau kritikan yang dilemparkan di media sosial.
“Saya cuma harap melalui teater ini dapat menyedarkan mereka mengenai kesan komen yang ditinggalkan di media sosial. Ia boleh menyebabkan semangat atau jiwa seseorang itu hilang.
“Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup.
“Setiap watak yang dipersembahkan dalam teater ini melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” katanya.
Teater Di Sebalik Topeng yang akan dipentaskan bermula hari ini dan esok di Auditorium Dewan Bahasa Dan Pustaka, Menara DBP bakal menyaksikan Ogy memegang watak sebagai isteri kepada seorang tokoh politik yang pernah berkuasa sehingga menyebabkan dia mengalami masalah kesihatan mental.
Melalui sesi terapi kumpulan, wanita berkenaan tidak bersendirian, sebaliknya ditemani beberapa individu lain yang juga cuba melepaskan diri daripada trauma dan bebanan hidup.
Di Sebalik Topeng menggunakan latar belakang sesi terapi sebagai medan menyingkap kisah setiap watak yang penuh adegan rahsia.
Dalam masa sama, teater itu turut menekankan kepentingan mencari bantuan dan memahami kesakitan emosi adalah sebahagian kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.
“Masyarakat kita masih lagi canggung dan kurang faham kepentingan merawat masalah itu sendiri, dalam dialog monolog pembuka ada menyebut “aku sihat, aku tak sakit” dan itu sendiri menunjukkan dia sendiri tidak sedar dirinya perlu dirawat.
“Saya berharap teater ini juga dapat membantu masyarakat kita ini memahami kepentingan sistem sokongan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai masalah kesihatan mental dan emosi” katanya.
Sementara itu, pengarahnya Zainorhisyam Samudin berkata, dia berharap pementasan ini dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan sokongan emosi.
“Teater ini adalah sebuah experimental kepada situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan kita.
“Dalam teater ini kita persembahkan pelbagai latar kehidupan yang membawa kepada gangguan mental itu sendiri yang mana ada sosok narsisitik, penagih dadah, scammer, wanita yang melalui dugaan dihina dan dikecam, pemerdagangan manusia dan mangsa penderaan.
“Semua ini berlaku di sekeliling kita dan kita tekankan pada pengakhirannya kepentingan sistem sokongan dari semua pihak” katanya.
Selain Ogy, teater terbabit turut dilakonkan oleh Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar.
Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154, dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024