Hiburan
Oh! Rupa-Rupanya Misteri Dilaila Ada Dua Ending ...
Pertama kali dalam sejarah perfileman tempatan, satu filem punyai dua pengakhiran! Misteri Dilaila memberi kuasa kepada penonton untuk memilih kesudahannya.
Kata pengarah Misteri Dilaila, Syafiq Yusof, pihaknya menyedari berlaku perdebatan dalam kalangan penonton yang telah menyaksikan filem misteri thriller ini.
“Hari ini secara rasminya saya umumkan kepada semua bahawa sememangnya filem ini dibuat khas dengan dua pengakhiran berbeza.
"Konsep sebegini belum pernah lagi ditampilkan di dalam industri filem Malaysia.
"Disamping itu, genre misteri thriller menjadi pilihan utama saya untuk muncul dengan konsep ini kerana ia memberi peluang untuk saya mengembangkan jalan cerita dan karakter dengan lebih dramatik dan kreatif.
"Saya juga berharap konsep ini mampu membantu filem genre misteri thriller mendapat lebih perhatian oleh penggemar filem tanah air sama seperti kelompok filem aksi dan seram," katanya.
Misteri Dilaila telah menemui penonton di seluruh pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei sejak 21 Februari yang lalu.
Misteri Dilaila yang membariskan pelakon hebat Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Dato Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Nam Ron dan Mas Khan ini pula bakal menemui penonton di Indonesia bermula 13 Mac 2019.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kedua-dua pengakhiran filem terbitan Astro Shaw dan Skop Productions di pawagam berhampiran anda sekarang.
Ikuti perkembangan dan info terkini mengenai senarai pawagam bagi kedua-dua pengakhiran filem di Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.
Misteri Dilaila mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.
Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.
Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.
Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan isterinya.
Must-Watch Video