Laman Utama

#OhAbeNik: Baju Kahwin Warna Hitam Tak Bawa Tuah? Ini Pasangan Pengantin Yang Langgar Stereotaip Berbusana Hitam Pada Hari Bahagia

gempak
Amri Hassan
25/09/2021
11:43 MYT
Sponsor Banner
#OhAbeNik: Baju Kahwin Warna Hitam Tak Bawa Tuah? Ini Pasangan Pengantin Yang Langgar Stereotaip Berbusana Hitam Pada Hari Bahagia
Ada kata hitam itu bukan warna pun, ia umpama bayang-bayang saja... gelap, suram dan tidak membawa tuah. Pandangan sama menjerumus ke arah stereotaip bahawa pengantin tidak patut berbaju hitam.
Ada segelintir berpendapat, pengantin perlu memakai pakaian yang terang, putih misalnya yang membawa pengertian suci mahu pun merah yang bermakna membawa untung dan rezeki.
Namun, pandangan ortodoks itu dipecahkan dengan pemilihan berani busana perkahwinan berwarna hitam pada hari bahagia.
Melihat sudut pandang daripada sisi lain, tiada apa yang salah dengan pilihan warna hitam. Nampak lebih bergaya, elegan, menawan, seksi, misteri dan paling utama memberikan ilusi kurus buat pemakai.
Warna hitam juga senang untuk dipadankan dengan apa juga aksesori pengantin, naik serinya dengan aksesori berwarna emas, perak atau bronze.
Ada juga mempelai yang bijak bermain dengan warna misalnya pelamin dan hiasan sampingan lain yang akan menyerlahkan seri pengantin yang berbaju serba hitam.
Malah, pasangan raja sehari, Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin juga dipuji ramai apabila menggayakan baju kahwin potongan klasik berwarna hitam, hasil rekaan Shanell Harun.
Jom, kita semak semula pengantin yang pernah menggayakan busana perkahwinan berwarna hitam pada hari bahagia mereka.
1. Zizi Kirana & Yusuf Bahrin
Pasangan ini mengejutkan ramai dengan majlis pernikahan mereka minggu lalu. Sama seperti misterinya hubungan mereka, pilihan busana berwarna hitam seakan-akan kena dan menceritakan segalanya.
Zizi mengenakan kurung pahang moden yang ditatahkan dengan sulaman batu jemeki pada bahagian bawah baju dan lengan. Melengkapi persalinannya, songket tenun berbenang emas digunakan sebagai kain dan layah di kepalanya.
Yusuf pula segak mengenakan baju Melayu berwarna hitam bersampin songket. Klasik dan ringkas!
2. Izzue Islam & Awin Nurin
Pasangan romantis, Izzue Islam dan Awin Nurin pula memilih untuk menggayakan persalinan hitam ketika majlis resepsi mereka sekitar lapan tahun lalu.
Izzue segak mengenakan sut hitam rekaan Hatta Dolmat manakala Awin pula anggun dalam dres hitam potongan duyung dari Classic Bridal.
Pasangan itu kelihatan menyerlah apabila disandingkan di atas pelamin serba putih.
3. Awie & Sharifah Ladyana
Legenda rock, Datuk Awie juga memilih persalinan serba hitam bertanjak dan sampin kuning ketika majlis pernikahannya bersama isteri, Sharifah Ladyana di Songkhla, Thailand sekitar tahun 2016.
Awie yang berbaju Melayu cekak musang itu disandingkan bersama baju kebaya hitam bersulam kerawang si isteri.
Sedikit percikan nusantara pada perincian batu jemeki dan corak kain yang dipakai pengantin wanita ketika itu.
Selain itu, keluarga pasangan itu pun turut sama mengenakan busana berwarna hitam pada majlis yang diadakan serba ringkas itu.
4. Oki Setiana Dewi
Pelakon dari Indonesia, Oki Setiana Dewi pernah memilih busana perkahwinan adat jawa berwarna hitam dalam majlis ngunduh mantu iaitu adat menerima menantu masyarakat Jawa di Indonesia.
5. Lesti Kejora & Rizky Billar
Pasangan sensasi Indonesia, Lesti Kejora dan Rizky Billar juga memilih busana moden berwarna hitam pada majlis Menuju Cinta Abadi selepas selamat bergelar suami isteri pada awal September lalu.
Lesti mengenakan gaun hitam bercorak songket berwarna perak dan dilengkapi dengan tulle yang sarat pada bahagian bawah. Ia merupakan rekaan pereka fesyen terkenal, Ivan Gunawan.
6. Sarah Jessica Parker
Bintang siri Sex and the City, Sarah Jessica Parker memilih gaun rekaan Morgane Le Fay pada majlis perkahwinannya bersama Matthew Broderick pada tahun 1997.
7. Avril Lavinge
Bintang pop Avril Lavinge juga pernah memilih gaun berwarna hitam pada hari bahagianya bersama suami, Chad Kroeger sekitar tahun 2013.
Bertemakan gothic, penyanyi lagu Complicated itu kelihatan anggun menyarung dres rekaan Monique Lhuiller.
8. Christine Quinn
Bintang realiti Selling Sunset, Christine Quinn pula tampil sebagai barbie gothic dalam gaun hitam rekaan Galia Lahav.
Majlis perkahwinan bernilai AS$1 juta (RM4.1 juta) bersama Christian Richard itu antara yang menjadi sebutan ramai hingga kini. Lawa weh!
Biarpun masih ada segelintir yang beranggapan majlis perkahwinan tidak harus dipakai dengan warna hitam, pilihan tetap di tangan pengantin itu sendiri.
Tiada salah atau betul dalam, asal kena tempat dan masa.
Paling utama, warna pakaian pada hari perkahwinan bukan satu jaminan pada masa akan datang.
***
NOTA: #OhAbeNik merupakan pandangan peribadi penulis dalam berkongsi tips atau ulasan tentang gaya hidup, hobi, fesyen, isu semasa dan kemahiran harian.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Unitar