Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Olimpik Paris 2024: "I'm sorry Malaysia" - Shah Firdaus Sukar Terima Impian Pingat Berkecai Dalam Beberapa Saat

Awani
12/08/2024 02:25 MYT
Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kegagalan beliau menyumbang pinga padat final acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam (Ahad).

Permohonan maaf itu dibuat Shah Firdaus menerusi hantaran InstaStory beliau sekitar pukul 8 malam tadi.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Shah Firdaus mengakui, beliau memerlukan masa untuk menerima dugaan terlepas pingat dan disingkirkan daripada final acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba berusia 28 tahun berasal dari Muar, Johor itu berkata, beliau begitu yakin akan menaiki podium di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada Ahad apabila telah menyediakan barangan keperluannya untuk upacara penganugerahan pingat.

Impiannya hampir menjadi realisasi apabila berada di kedudukan ketiga dengan perlumbaan memasuki lebih kurang 25 meter terakhir tetapi berkecai dalam masa yang begitu pantas selepas dilanggar oleh pelumba Jepun, Shinji Nakano yang mengakibatkannya dan pelumba Great Britain, Jack Carlin terjatuh.

Walaupun mengalami kecederaan ringan selepas diseret beberapa meter, pelumba yang digelar sebagai 'Shah The Terminator' itu tetap bangun dan menolak basikalnya ke garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Namun, bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, beliau disingkirkan ke tempat keenam kerana memasuki laluan pelumba Jepun itu.

"Saya memang berada pada posisi untuk meraih pingat apabila telah melepasi separuh daripada basikal Nakano tetapi secara tiba-tiba tayar belakang saya dilanggar. Kemudian pelumba di kedudukan nombor keenam yang dah give up untuk kejar (Matthew Glaetzer dari Australia) tamat perlumbaan di tempat ketiga.


"Dari pagi saya set minda bahawa saya ada kemampuan untuk meraih pingat. Jika saya tidak beri cabaran langsung untuk pingat saya boleh terima tetapi ini susah untuk hadam," katanya ketika ditemui di hotel penginapan.

Pemenang dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lepas itu, bagaimanapun berterima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) yang membantunya kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu dan lutut yang dihadapi sebelum ini.

Perlumbaan final itu dimenangi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen untuk merangkul pingat emas ketiganya di Paris selepas turut memenanginya dalam acara pecut individu dan berpasukan.

Pingat perak menjadi milik pelumba Australia, Matthew Richardson manakala rakan senegaranya, Matthew Glaetzer membawa pulang gangsa.

Sementara itu, Shah Firdaus meminta semua pihak supaya tidak mengecam Nakano di media sosialnya kerana pelumba itu tidak melakukannya dengan sengaja.

Shah Firdaus merupakan harapan terakhir buat Malaysia untuk menambah kilauan pingat di Paris 2024, selepas Datuk Mohd Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaannya di pusingan pertama acara itu semalam.

BERITA TRENDING: Jiggy Hilang Sabar! Berang Netizen Melampau ‘Edit’ Gambar Dhabitah Sabri - “Let’s Give You The Limelight That You Want…”

BERITA TRENDING: Olimpik Paris 2024: "Saya Dah Janji Bawa Ibu Bapa Pergi Umrah" - Shah Firdaus

BERITA TRENDING: Che Sayang Kitchen Dinobat Creator Of The Year, Bella Astillah Menang Celebrity Of The Year TikTok Awards Malaysia 2024

BERITA TRENDING: Arena Lieya Pernah Alami Fasa Stagnant Dalam Karier - “Tidaklah Sampai Saya Nak Berhenti”


Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton.

Saksikan atlet Malaysia secara siaran langsung di Gempak.com. Ikuti perkembangan dan keputusan terkini Olimpik Paris 2024 disini.

Sumber: BERNAMA menerusi Astro Awani

#Berbasikal #Impian #Shah Firdaus #Olimpik Paris 2024 #Berkecai