Penyanyi nasyid, Fitri Haris tampil dengan buah tangan terbaru buat peminatnya yang menjanjikan suatu kelainan pada lagu terbaharunya selepas 17 tahun dalam industri muzik.

Jelasnya, dia memperkenalkan single Hanya Kamu yang menampilkan konsep baru yang lebih segar ciptaan Awi Rafael.

"Alhamdulillah, lagu ini sudah meraih 10,000 tontonan di YouTube. Bila Awi buat lagu ketuhanan yang dinyanyikan penyanyi nasyid macam saya, ia memberikan sesuatu yang lain," katanya kepada Astro Gempak.


Ujarnya, single ini terlebih dahulu diperdengarkan menerusi platform YouTube sebelum dimainkan di stesen radio mahupun dilancarkan secara rasmi.

"Saya rancang melakukan penggambaran klip video lagu ini di Jakarta, Indonesia pada Februari ini dan selepas itu baru melancarkan lagu ini dan membawa ke stesen radio," katanya.

Baginya, lagu terbaharu ini adalah karya ketika daripadanya selepas menjuarai program Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) pada tahun lalu.

"Sebelum ini saya tampil dengan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu dan Wahai Kekasihku manakala kali ini lagu terbaharu ini lebih Islamik dari konsepnya.

"Repons peminat juga mengakui mereka suka dan tahu kemampuan vokal saya. Lagu ini menunjukkan vokal saya dan nampak suatu kelainan.

"Ada yang komen kata padu dan tinggi pada lagu. Ada juga bertanya macam mana nak 'cover' lagu tinggi, jadi saya cari formula untuk turunkan 'key'," katanya.

Di sebalik kehadiran lagu terbaharu itu, Fitri juga memberitahu dia lebih memilih untuk mengadakan showcase sendiri dibandingkan hanya menunggu tawaran persembahan yang datang.

"Selepas menang GGV2, orang kata menang 'best' sebab dapat duit tapi saya pula ada satu perangai, saya rasa ia amanah bukan nak cerita saya baik tapi saya fikir orang bagi kemenangan ini hasilkan sokongan dan doa mereka. Jadi, saya kena bagi balik.

"Saya kena bagi sesuatu pada masyarakat seperti turun buat konsert amal, buat showcase mahupun konsert. Pada penghujung tahun lalu, Konsert 2 Dunia bersama Lan Solo mendapat sambutan ramai, begitu juga konsert amal di USIM penuh. Setakat ini sampai raya, slot saya dah penuh," katanya.

Teks oleh: Elafaei Sapi