Imam Besar Masjid Putra, Ustaz Ikmal Zaidi Hashim tidak meredai perbuatan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab merakam dan menyebarkan video layanan 'double standard' orang kenamaan (VIP) pada Jumaat lalu.

BACA: Masjid Ditegur Layan Jemaah Sama Rata, Bukan Hanya Beri Keistimewaan Pada 'Kayangan'

Tegas Ikmal ketika siaran langsung di laman Facebook, tindakan sengaja mencari kesalahan orang adalah tidak wajar, justeru, meminta agar pihak berkenaan datang berjumpanya untuk memohon maaf.

"Ada orang viralkan video orang masuk sembahyang Jumaat di Masjid Putra sedangkan orang awam tak boleh masuk. Mereka viralkan dakwa orang ada cable boleh masuk.

"Sebelum solat dah buat dosa. Saya tak reda, saya doa siapa buat ni (ambil gambar viralkan) dapat hidayah Allah. Nanti datang jumpa saya minta maaf," katanya.

Tambah Ikmal, jumlah kuota untuk solat Jumaat di Masjid Putra adalah 300 orang, yang mana 90 peratus (270 orang) untuk orang awam dan 10 peratus (30 orang) untuk VIP.

"Saya nak beritahu, kuota kita sembahyang Jumaat di Masjid Putra adalah 300 orang. Itu ketatapan setakat ini. First come first serve basis. Kalau siapa datang lambat tak dapat masuklah.

"Masjlid Putra merupakan masjid kerajaan yang kedudukannya sebelah Jabatan Perdana Menteri. Kita kena bagi kuota 10 peratus je bersamaan dengan 30 orang untuk VIP, beri peluang kepada pengarah dan ke atas.

"Mereka ni sibuk kadang-kadang keluar lambat meeting hari Jumaat," jelasnya.

Tambah Ikmal lagi, kebanyakan jemaah yang datang untuk menunaikan solat Jumaat baru-baru ini difahamkan terdiri daripada penduduk sekitar Putrajaya yang mengambil peluang untuk merentas daerah ke kawasan terbabit.

"270 kuota untuk jemaah biasa. Semalam kan baru boleh merentas, ramailah orang sekeliling yang ambil kesempatan nak sembahyang di Masjid Putra.

"Tapi ramai yang degil, tak nak balik. Memang VIP tu dah bagi nama awal. Tu untuk mereka, itu hak dia. Yang lebih untuk jemaah lain, tak nak balik tapi duduk depan masjid," jelasnya.

"Kadang-kadang orang kita ni anggap orang masjid macam tak ada otak, kita ikut SOP, kita ikut arahan.

"Dah memang penuh, baliklah... Biasa ada polis tolong jaga. Kita suruh balik sebab dah penuh," jelasnya lagi.

Terdahulu, tular video berdurasi 57 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki dilarang memasuki kawasan sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Bagaimanapun mereka yang membawa sejadah sendiri hanya mampu menunggu di depan pagar yang ditutup dan dikawal ketat oleh kakitangan masjid tersebut.

Tidak lama kemudian individu yang baru tiba di masjid itu dengan menaiki kenderaan mewah dibenarkan masuk untuk menunaikan solat dan pagar masjid turut dibuka untuk beberapa lelaki dipercayai pegawai dan pengawal individu tersebut.

Sehubungan itu, Masjid Putra mengeluarkan permohonan maaf berhubung isu video viral itu.