Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Pada Mulanya Tak Yakin Nak Terima Dia Tapi...”- Elly Mazlein Akui Papa Awan Nano Berjaya Menangi Hatinya

Syafiqah Jalal
19/01/2020 04:57 MYT
Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein, 40, akui pada mulanya dia tidak rasa yakin untuk mendirikan rumah tangga dengan suaminya Mohammad Azlan Che Noh.

Namun selepas melihat pelbagai usaha yang dilakukan Azlan, 30 yang lebih mesra dengan panggilan Awan Nano itu, hatinya sudah terpikat.

“Sebenarnya masa mula-mula berkenalan itu saya tak rasa yakin untuk menerimanya kerana perbezaan usia yang ketara.

“Agak susah juga saya nak memahami Azlan tapi lama kelamaaan dia pula yang lebih memahami saya meskipun kerjaya kami berbeza.

“Lama kelamaan kami menjadi serasi,” katanya yang ditemui selepas majlis akad nikah dan resepsi.

Dengan hanya sekali lafaz, Elly selamat diijabkabulkan dengan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Tambah Elly atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina itu, apa yang membuatkan dia terpikat lagi dengan suaminya yang juga seorang guru itu adalah kerana kesungguhannya.

“Dia sangat jujur dan berusaha lebih untuk dapatkan hati saya serta anak dan bapa saya.

“Bawa balik kampung saya pun, sekejap sahaja dia dapat menawan hati semua orang.

“Apa yang penting saya nampak kualiti dirinya untuk menjadi seorang suami,” katanya lagi.

Terdahulu, Elly mengikat tali pertunangan dengan Azlan yang disapa sebagai Papa Awan Nano pada 17 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, Elly pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta dan dikurniakan cahaya mata, Putri Sara Sefhia Azmi sebelum bergelar ibu tunggal selama tiga tahun.
#Elly Mazlein #pelakon #Kahwin #Kahwin #Pelakon #Suami
;