Pelakon drama bersiri Tercipta Satu Ikatan, Aeril Zafrel tampil membalas dakwaan peminat bahawa dia telah memadamkan komen berbaur kritikan yang ditulis di Instagramnya baru-baru ini.

Pengguna yang dikenali sebagai @juaizam memberikan cadangan untuk memperbaiki kualiti drama tempatan selain mengajukan sebab Aeril memadamkan komennya.

"Kenapa delete komen saya Aeril, tak betul ke komen saya tu? Saya menjawab soalan je.

"Tahap cerita Melayu, tak habis-habis dengan kahwinnya, projek juta-juta, datuk sana, tan sri sini. Bukan suruh puaskan hati orang.

"Tapi cuba perbaiki mutu drama tempatan barulah boleh tarik minat untuk orang menonton," tulisnya.

Aeril kemudiannya tampil menjawab komen tersebut dengan lima hujah panjang lebar.

"1. Itu cara saya memaafkan dan menyembunyikan kesalahan, ketidakadilan, ketidaksabaran, ketidaktahuan dan kebobrokan mentaliti, atitud dan sahsiah awak.

"2. Kesalahan awak kerana tidak menjawab soalan yang diajukan. Lari konteks. Yang ditanya tentang episod 2 sahaja, jawapan awak menunjukkan yang awak sebenarnya tidak pun menonton episod 2 secara menyeluruh. Mungkin juga tidak lihat sama sekali episod 1.

"3. Ketidakadilan awak pada diri sendiri sangat jelas kerana pukul rata sema cerita yang awak nampak imejnya sama dengan satu hukum. Padahal awak tak tengok dan tak tahu pun lagi overall storyline.

"Contohnya tengok orang pakai sut atau kereta mahal - awak fikir orang tu anak Datuk. Padahal boleh saja orang tu menyamar, menipu atau menyewa sahaja.

"4. Ketidaksabaran awak untuk mengikut alur cerita ini kerana persepsi awal awak telah menguasai diri dan jelas terlihat awak bukan jenis mahu menikmati storytelling orang lain yang mungkin dengar cara awak berfikir.

"Dalam hidup kita tidak boleh merasa diri sentiasa benar. Kena sudi pinjamkan telinga mata dan hati untuk kisah orang lain juga supaya dapat ibrahnya.

"5. Ketidaktahuan awak pada permainan jalan cerita dan situasi berkaitan slot tayangan stesen penyiaran yang sudah punyai kategori dan pamplet sendiri.

"Contohnya cerita tentang budaya dan kemasyarakatan sudah ada tokoh pembikinnya. Untuk menjana pendapatan ada bentuk ceritanya. Untuk memberi inspirasi ada bahagiannya. Untuk kisah benar atau realiti ada National Geographic.

"Jadi awak boleh memilih ikut selera sendiri, bukannya miliki sifat mahu orang lain jadi atau ikut selera awak," tulisnya panjang lebar.

A post shared by AERIL ZAFREL (@aeril_zafrel)


Aeril pada masa sama mengandaikan pengguna terbabit tidak sepatutnya terasa seandainya dia bertindak memadamkan komen yang ditulisnya sebelum ini.

"Justeru bagi saya sepatutnya awak tak perlu terasa dengan kapsyen saya tu dan saya berhak untuk menyunting, memadam, membatasi dan apa pun sahaja pada akaun peribadi saya ini. Kan saya punya," tambahnya.

Aeril kini muncul dalam drama bersiri terbaharu Tercipta Satu Ikatan yang bersiaran di saluran Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.

Drama itu turut dibintangi Hanna Delisha, Izzue Islam dan Nadhir Nasar.