Hari ini dunia dikejutkan dengan berita dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa yang menyebabkan lebih 100 orang terbunuh dan 4,000 yang lain cedera.

Difahamkan angka korban juga semakin meningkat sejak berita tersebut dilaporkan.

Ketua Setiausaha Palang Merah Lubnan pada Rabu berkata mangsa letupan di Pelabuhan Beirut pada Selasa meningkat kepada 100 orang dan lebih 4,000 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu.

Dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen Lubnan, LBC, George Kettaneh berkata hospital-hospital Beirut tidak lagi mampu menampung jumlah korban yang semakin meningkat.

Beliau menambah jumlah korban meningkat kepada 100 dan lebih 4,000 cedera, dengan sebahagiannya masih berada di bawah runtuhan.

Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut sekitar 6.10 petang waktu tempatan (1610 GMT), menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak korban nyawa dan kerosakan.

Banyak negara menyatakan solidariti dan simpati dengan kejadian itu, yang memberi tamparan hebat ketika negara berkenaan turut bergelut dengan penularan wabak COVID-19 dan krisis ekonomi.

Antara yang menyuarakan simpati dan menyampaikan ucapan takziah ialah Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif, Kementerian Luar Negeri Turki, Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Palestin Mohammed Ishtaye.

Beginilah keadaan Beirut selepas tragedi tersebut berlaku:

Dalam pada itu Perdana Menteri menzahirkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan apa jua bantuan diperlukan Lubnan.

Beliau berkata kerajaan dan rakyat Malaysia bersimpati dengan keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu serta berdoa agar mereka tabah dalam menghadapi dugaan berkenaan.

“Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat Lubnan atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut yang menggemparkan negara itu pagi tadi,” katanya dalam catatan terbaru di akaun Facebooknya.

Letupan yang berlaku kira-kira tengah malam Selasa waktu Malaysia dipercayai berpunca daripada kebakaran di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut yang dikatakan menyimpan bahan letupan.

Muhyiddin turut menzahirkan rasa kesyukuran selepas dilaporkan semua rakyat Malaysia di Beirut selamat.