“Ini salah saya, memang salah saya sebab saya yang pakai baju itu,” ujar Ruhainies.

Tanpa mahu menegakkan benang yang basah saat ditanya mengenai isu berpakaian menampakkan lurah dada baru-baru ini, Ruhainies mengatakan sikap tergopoh dan mahu cepat membuatkan dia lalai memastikan busana yang disediakan stylist berada dalam ‘keadaan baik’.

“Sebenarnya salah saya sebab saya tidak periksa baju yang diberikan stylist.

“Sepatutnya saya perlu pakai tube di dalamnya tapi saya tidak pakai kerana fikir akan pergi ke majlis yang berdekatan.

“Jadi dalam kedaaan mahu cepat saya pakai baju itu tanpa ‘dalamannya’ dan bila sudah pakai baru rasa alamak seksi,” kata Ruhainies.

Selepas insiden ‘lurah’ terjadi pada majlis pertama yang dihadiri, Ruhainies membeli tube untuk memastikan pakaian yang dikenakan berada dalam keadaan sopan.

Ruhainies ditemui pada majlis pengumuman Top 10 Anugerah Telenovela 2023 yang diadakan di Hotel Ritz Carlton tengahari tadi.

Tambah Ruhainies dia menerima baik teguran yang diberi kepadanya namun mengaku menutup ruangan komen dan membalas semua kritikan kerana tidak mahu isu tersebut berpanjangan.

“Saya terima teguran untuk mana yang saya baca tapi memang saya tutup komen kerana tidak mahu peminat berbalah.

“Cukuplah saya seorang yang buat dosa, jangan tambah lagi. Saya tak mahu ada aura negatif lainnya,” kata Ruhainies.