Pelakon berbakat, Siti Saleha akui sambutan Aidilfitri tahun ini kurang meriah berbanding sebelumnya.

Menurut bintang utama drama bersiri Scammer ini, tidak banyak perkara yang dilakukan pada Hari Raya pertama memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membatasi aktiviti ziarah dan sebagainya.

"Sambutan Raya saya tahun ini biasa-biasa sahaja, kita semua harus mematuhi pelaksanaan PKP.

"Pagi Raya mula-mula bersiap pakai baju Raya, kemudian ambil foto buat kenangan, tak lama selepas itu, tukar baju semula.

"Selain itu, saya juga ada menghubungi ahli keluarga menerusi panggilan video sahaja," katanya.

Saleha berkongsi pengalaman itu ketika sidang media virtual mempromosikan drama Scammer yang diadakan baru-baru ini.

Bercakap mengenai lakonannya dalam drama tersebut, Saleha akui telah membuat rujukan menonton karya antarabangsa terlebih dahulu.

"Isu scam ini bukanlah perkara baru, saya ada membuat rujukan menonton siri dari luar negara sebelum melakonkan watak ini.

"Apa yang penting, saya juga banyak belajar mengenai dunia scammer setelah terlibat dalam drama ini, sebelum ini pengetahuan saya tidaklah banyak tentang kegiatan scammer ini," katanya lagi.

Selain Saleha, Scammer turut dibintangi oleh Fasha Sandha, Kamal Adli, Didie Alias dan ramai lagi.

Ia bersiaran pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11 malam di Astro Ria.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!