HIBURAN

Pakar Audiologi Terbitkan Filem, Ada Sebab Pilih Judul 6 Jilake! - "Kalau Pilih Nama Terlalu Baik, Bimbang Tiada Yang Berminat"

Amri Hassan 18/03/2025 | 06:52 MYT
Penerbit filem 6 Jilake yang juga pakar audiologi, Dr Nur Shasa’ Ain Tan Sri Abdul Aziz punyai sebab tersendiri memilih judul sedemikian untuk filem pertama terbitan syarikatnya, Eartistic Entertainment.
Jelas Shasa’, pemilihan tajuk 6 Jilake pada awalnya menerima tentangan, tetapi akhirnya mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Tiada apa yang boleh saya katakan selain judulnya yang ‘catchy’ dan provokatif. Tetapi saya ingin tekankan, filem ini penuh pengajaran. Kalau kami pilih nama yang terlalu baik, bimbang tiada yang berminat. ‘Jilake’ boleh disifatkan sebagai orang jahat atau bajingan," katanya kepada Gempak.

BERITA TRENDING: "Kalaulah Boleh Saya Berikan Nyawa Saya Sendiri..." - Norlina Alawi

BERITA TRENDING: "Hish! Tak Ada Penyakit Cari Penyakit!" - Netizen Berbalah Wanita Ini Santuni Anak-Anak HIV & AIDS, Apa Masalahnya?

Shasa’ ditemui pada majlis berbuka puasa filem 6 Jilake di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini turut optimis dengan sentuhan pengarah legenda, Aziz M Osman.
“Sebenarnya projek ini tercetus secara spontan apabila Aziz mencadangkan saya menerbitkan filem. Pada mulanya saya ragu-ragu, tetapi selepas membaca skrip, saya percaya pada kredibilitinya sebagai pengarah.
“Malah, sewaktu di set penggambaran di Gopeng, Perak, saya kagum melihat bagaimana dia menghidupkan lokasi menjadi perkampungan tradisional yang sangat realistik.
“Mungkin sebelum ini filemnya kurang mendapat sambutan kerana masalah teknikal. Tetapi saya percaya kali ini, hasil kerja Aziz akan memberi impak besar," ujarnya.
6 Jilake bakal menemui penonton pada 24 April dengan sasaran kutipan mencecah RM10 juta.

BERITA TRENDING: "Dengarnya Dah Hafal 20 Juzuk Al-Quran, Berat Badan Bertambah" - Saiful Apek Update Perkembangan Semasa Yassin, Bakal Pulang Sebelum Aidilfitri

Filem ini diinspirasikan daripada filem klasik 6 Jahanam dan bukan sekadar komedi slapstik.
“Filem ini seperti ‘roller coaster’—ada elemen gembira, sedih, bangga. Jika anda padamkan suaranya, anda akan lihat ia sebagai filem serius," tambahnya yang turut mendapat peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) dari Kementerian Komunikasi dan FINAS.
Menariknya, 6 Jilake turut mengetengahkan nama kuih-muih tradisional dalam jalan ceritanya.
“Kami mahu generasi muda mengenali kuih tradisi kita kerana ramai anak-anak sekarang yang tidak tahu nama-nama kuih tempatan.”
Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, Jalil Hamid dan ramai lagi.
6 Jilake berkisar kisah perisik upahan Belanda yang cuba merampas kawasan lombong emas rahsia di Kampung Ketayap.
#Viral #Filem #LPF #FINAS #Aziz M Osman #Pakar #Tajuk #Terbit #6 Jilake #Audiologi #Dr Nur Shasa’ Ain Tan Sri Abdul Aziz