Laman Utama
"Kalaulah Boleh Saya Berikan Nyawa Saya Sendiri..." - Norlina Alawi
Jihad Datin Norlina Alawi membesar dan memberikan pendidikan kepada puluhan anak angkatnya termasuk yang menghidap HIV/AIDS tidak pernah terhenti.
Malah, kehilangan anak angkat yang dijaga sejak 17 tahun lalu yang dipanggil Mak Jang baru-baru ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam bagi pengasas Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia ini.
Luluh hati Norlina apabila wajah arwah Mak Jang atau nama sebenarnya Siti Noor Hatika Abdul Rahman, 25, sehari sebelum meninggal dunia dikaburkan menerusi laporan media tempatan yang sekaligus meletakkan satu stigma buat anak-anak yang menghidap HIV/AIDS.
"Mak Jang merupakan anak empat keempat saya yang telah meninggal dunia. Selepas dua tahun menjaga arwah, saya ambil dia sebagai anak angkat yang sah. Saya mula menjaga arwah sejak berusia 7 tahun hingga sekarang, 25 tahun...
"Dia penghidap HIV yang berjangkit dari orang tuanya. Dia punyai seorang abang yang berusia 28 tahun yang baru habis belajar kejuruteraan elektronik di sebuah universiti tempatan.
"Saya mahu tukar darjat anak-anak anugerah ini ke darjat lebih tinggi. Maksudnya kalau dulu anak yatim piatu yang tiada apa-apa, sekarang mereka anak-anak saya.
"Saya sayang mereka macam anak sendiri, nyawa saja yang tak boleh saya berikan. Saya memang menjaga aib mereka, sebab itu saya sedih sehari sebelum meninggal dunia keluar berita wajahnya dimozekkan. Saya terperanjat.
"Arwah sudah setahun tidak pakai tudung apabila menghidap strok, buta dan hilang ingatan. Dia sudah tak faham apa pun...
"Di situlah stigma, bila wajah dikaburkan. Bila nak bantu tak ada masalah, cuma cara itu saya agak terkilan... Esoknya anak itu meninggal dunia.
"Saya maafkan benda sudah terjadi. Bila anak-anak saya membaca, mereka pun agak terkilan. Mak Jang hidap HIV dari ibu bapa dia, bukan dia yang berdosa," luahnya kepada Gempak.
Stigma
Akui Norlina, hatinya terguris dan beremosi apabila melihat wajah anak yang disayangi diperlakukan sedemikian, meskipun ada yang menganggap tujuan wajah dikaburkan demi menjaga sensitiviti dan maruah pesakit.
"Tiga orang anak saya meninggal dunia ketika baru berusia 11 tahun, Mak Jang yang paling lama hidup hingga 25 tahun.
"Jujurnya, ibu mana tak emosi kalau bukan fakta diviralkan. Saya sendiri pun berhati-hati dalam berkongsi fakta.
"Saya sensitif bila mereka disebut sebagai anak angkat kerana saya sudah jadikan mereka sebahagian daripada anak-anak saya. Saya nak status dia macam anak biasa.
"Sebagai seorang ibu yang bukan lahir dari rahim saya, tapi sifat keibuan Norlina Alawi tinggi untuk anak-anak seperti ini.
"Saya menjadi mulut dan jiwa mereka. Saya faham apa yang mereka lalui selama ini. Saya tak mudah melatah atau emosi, bila bercakap pasal anak saya perlu tegas!
"Saya nak hilangkan stigma, dia macam anak saya. Stigma itu kita yang buat, kita takut pada dia. Sebenarnya kita takut pada diri kita.
"Saya dah bela anak kepada pesakit HIV Aids lebih 20 tahun. Sebab itulah ilmu itu penting, orang yang takut pada bayang-bayang sendiri.
"Cuba bayangkan kalau dah terkena pada keluarga kita sendiri, takkan kita nak bunuh dia, tanam dia hidup-hidup? Kita bukan di zaman jahiliah.
"Kuman HIV tak merebak sewenang-wenang seperti COVID-19. Orang pandang hina pesakit HIV Aids kerana ia berjangkit dari benda tak baik seperti dadah dan seks bebas. Hal yang mengaibkan. Manusia yang buat stigma... Tak payah kaburkan pun, tak perlu tutup. Ada kata nak jaga maruah, itulah stigmanya," tegas Norlina lagi.
Arwah Mak Jang mula dijaga oleh Norlina sejak berusia tujuh tahun, tanpa ada sempadan atau perbezaan antara tujuh orang anak kandungnya yang lain.
"Selepas ibu bapa dia meningal dunia, dia tinggal bersama neneknya dan saya sambung menjaga arwah.
"Biarpun gagal daripada segi akademik, saya ajar dia solat mengaji, membaca tak ada beza seperti anak-anak saya. Saya hantar dia sampai habis SPM, sebab dia sakit dia perlukan makan ubat pagi dan malam. Saya perlu sentiasa ada bersama dia.
"Dia hidup seperti orang lain cuma perlu berulang-alik ke hospital. Adakalanya berkudis dan kena jangkitan kuman dalam paru-paru dia. Dia agak sensitif kerana kuman HIV Aids banyak dalam darah dia.
"Dia jalankan tanggungjawab sebagai kakak kepada adik-adik dia sampailah dia jatuh sakit, menjadi pelupa tahun lepas," katanya yang turut menyediakan ruang untuk arwah Mak Jang mengusahakan beberapa perniagaan.
Sejak 2001, Norlina telah menjaga lebih 100 orang anak angkat yang datang dan pergi. Malah, Norlina telah mengambil 35 orang anak angkat secara sah menjadikan anak-anak di bawah jagaannya ketika ini seramai 47 orang.
Dr Shasa terkejut
Sementara itu, pengasas produk Ola Oli, Dr. Shasa Aziz yang pernah menyantuni anak-anak di PERNIM pada akhir Ramadan lalu turut terkesan dengan pemergian arwah Mak Jang.
"Saya terkejut sebenarnya baru jumpa minggu akhir Ramadan, memang sedihlah tak terkata. Saya rasa kesedihan mama sebab beliau jaga arwah dari remaja sampai hujung nyawa. Masa melawat, saya kagumi mama. Dia tak berkira jaga anak-anak ini, ia pengalaman overwhelming.
"Masa dapat tahu pemergian arwah, sedih, terkejut. Dada tu penuh sebak, saya tak kenal dia. Sebagai seorang ibu, dengarkan anak-anak meninggal dunia itu rasa sebak.
"Saya banyak berhubung dengan mama bagaimana dia melaluinya. Ia satu point yang kita perlu jangka pemergian dia. Saya tak tahu betapa tabahnya hati mama," kongsinya.
Akui Dr Shasa, selepas tular lawatannya ke PERNIM, ramai yang tampil memberikan dorongan dan kata-kata semangat untuk meneruskan usaha selepas ini.
"Lepas viral kebanyakannya positif, walaupun saya faham isunya sedikit sensitif. Topik itu good churn sebab lama tak cakap pasal kesedaran Aids.
"Saya lihat ramai yang faham dan menyokong, ia satu perbincangan yang bagus. Ada yang mahu saya meneruskan usaha ini. Yang concern itu sweetlah sebenarnya... Saya harap ramai lagi yang boleh jadi macam mama," ujarnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Dr. Shasa yang mengasaskan produk booster imunisasi khusus untuk kanak-kanak itu akan meneruskan misi bantuan fokus kepada anak-anak yang mengalami autism dan masalah pembelajaran pula selepas ini.
Must-Watch Video