Viral baru-baru ini mengenai nasib seorang kanak-kanak dikenali sebagai Nor Atho’ullah yang dibawa mengelilingi pusat Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk menerima sumbangan khairat kematian.

Sumbangan tersebut susulan ayahnya yang pergi meninggal dunia akibat COVID-19.

Kisah Atho’ullah kemudian menarik ribuan rakyat Malaysia yang turut bersimpati dengan nasib kanak-kanak itu.

Terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengambil kesempatan untuk bersemuka dengan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

Zulkifli bertemu dengan Atho’ullah dan kakaknya menerusi panggilan video secara atas talian.

Menerusi video berkenaan, Zulkifli yang membahasakan dirinya ‘pakcik’ turut meminta maaf kerana tidak dapat hadir menziarahi kanak-kanak itu disebabkan urusan kerja.

“Pakcik mintak maaf tak dapat nak hadir jumpa anaknda berdua, masa tak empat sangat.

“Lain kali pakcik datang kita makan nasi sama-sama,” katanya.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasmi menteri itu juga, Zulkifli sempat memberi kata-kata semangat dan pada masa sama membacakan doa untuk pemergian arwah bapa kanak-kanak tersebut.

“Ini ujian Allah kita sabar yang penting ibu masih ada kita taat pada ibu, jangan tinggal ibadah dan belajar rajin,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Atho’ullah turut memberitahu yang mereka kini telah menjalankan perniagaan kecil-kecilan membuat roti yang dijual di stesen minyak berhampiran.