Kisah masalah penipuan yang terjadi dalam keluarga pelakon Indonesia Irwansyah dan adik kandungnya, Hafiz Fatur masih belum usai.

Terkini, Irwansyah yang ditipu Hafiz sehingga kerugian mencecah RM1.5 juta telah melaporkan perbuatan yang turut mengheret sama nama baik isterinya, Zaskia Sungkar kepada pihak polis.

Menurut peguamnya, Muhammad Zakir Raysidin, Irwansyah telah melaporkan Hafiz kepada polis atas dakwaan memalsukan dokumen ke Polres Metro Jakarta Selatan.

Menerusi laporan Kompas, peguam penyanyi itu menjelaskan jumlah kerugian sekitar RM1.5 juta yang dialaminya itu terjadi selepas adiknya memalsukan tanda tangannya dan Zaskia sekaligus memalsukan dokumen tanpa pengetahuannya.

Jumlah wang tersebut menjadi jaminan kepada semua dokumen yang dipalsukan Hafiz kepada pihak bank sekaligus membuat Irwansyah kerugian sebuah kereta dan beberapa unit rumah.

“Itu termasuklah sebuah kenderaan dan empat unit rumah yang dokumennya dipalsukan sebagai jaminan kepada pihak bank,” kata peguam yang mewakili Irwansyah.

Hal yang menjadi persoalan lagi adalah bagaimana Hafiz sanggup melakukan perbuatan tersebut kepada abangnya sendiri.

“Dia (Irwansyah) tak sangka bagaimana adiknya boleh melakukan perbuatan ini kepadanya.

“Irwansyah mengatakan dia tidak pernah langsung membuat pinjaman kepada bank yang menuntutnya,” tambah Zakir.

Sebelumnya Irwansyah dilaporkan terkejut selepas ‘dikejar’ pihak bank kerana gagal melunaskan pinjaman kewangan yang telah dibuat.

“Irwansyah terkejut kenapa dikejar bank dan diminta bayar hutang sedangkan dia tak pernah membuat pinjaman,” kata Zakir.

Selepas diselidik, Irwansyah baru menyedari bahawa adiknya telah memalsukan tanda tangan dan dokumen yang diserahkan kepada pihak bank. Perbuatan tak bermoral itu telah dilakukan sejak tahun 2018.

Tidak hanya menghadapi pertuduhan memalsukan tanda tangan dan dokumen, Hafiz juga didakwa dengan kes rasuah. Dia berdepan sehingga 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Untuk rekod, Hafiz sempat menjadi pelakon dan terkenal menerusi drama Heart Series beberapa tahun silam. Namun, populariti yang diraihnya tidak begitu hebat seperti abangnya dan membuat Hafiz memberi fokus terhadap bidang perniagaan.