Buat julung kalinya, sebuah drama mengenai dunia sepak takraw iaitu Kita Regu bakal ditayangkan di Astro Arena bermula 15 September ini.

Selain menampilkan barisan pelakon hebat seperti Niezam Zaidi, Mustaqim Bahadon, Hafreez Adam, Cik Manggis dan Bella Astilah, drama ini turut disertai bekas pemain takraw kebangsaan, Azlan Mubin yang pernah digelar sebagai ‘the killer’.

Drama Kita Regu mengisahkan tentang persahabatan tiga sekawan yang mempunyai tiga impian dan satu tujuan.

Watak Azlan, Meor dan Syahir masing-masing mempunyai cita-cita yang hendak dipenuhi.

Seperti regu sepak takraw menghadapi perlawanan demi perlawanan, begitulah juga tiga sahabat ini menempuh segala cabaran kehidupan di ibu kota.

Biarpun keutuhan persahabatan ini termeterai sekian lama, regu ini akan diuji dan inilah perlawanan akhir yang menentukan masa depan mereka.

Buat peminat sukan khususnya dunia sepak takraw, pasti drama ini paling dinanti-nantikan.

Drama Kita Regu yang menampilkan 13 episod ini bakal ditayangkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Arena 801 dan Astro Go.

Tayangan perdana episod pertama drama ini bermula 10.30 malam, 15 September.

A post shared by Astro Arena 801HD (@astroarenahd)