Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Pandangan Yang Saya Ambil Kira Adalah Shuib & Anak-Anak” - Watie Tak Cepat Melatah Bila Netizen Sering Bandingkan Dengan Arwah Siti Sarah

Mya Amri
10/06/2023 03:45 MYT
Usahawan, Watie Hanifiah tidak terkesan dengan kecaman netizen selepas dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan pelawak, Shuib.

Walaupun sering menerima komen netizen yang membandingkan dirinya dengan Allahyarhamah Siti Sarah namun Watie lebih memilih untuk menerima pendapat bakal suaminya, Shuib dan juga ahli keluarga yang lain.

"Saya baca juga tapi seperti angin lalu sahaja. Apabila tutup telefon maka sudah habis masanya. Saya tak ambil hati pun.

"Tak tahulah sebab kami tidak pernah berbincang tentang perkara ini dan mempersoalkan kenapa orang bandingkan saya dengan arwah, tak ada.

"Saya hanya baca sahaja tetapi habis setakat di situ. Bagi saya, saya nak hidup bersama Shuib dan anak-anak.

“Jadi pada saya pandangan yang saya perlu ambil kira adalah daripada dia, anak-anak dan juga keluarga.

"Untuk saya… Orang luar punya pandangan tu tidak penting sebab saya tak pernah fikir. Yang saya nak lalui kehidupan akan datang ini adalah saya dengan keluarga dia,” jelas Watie ketika ditemui Gempak.

Tambah Watie lagi, sebelum ini dia hanya menyerahkan urusan jodoh mereka pada takdir kerana tidak pasti sejauh mana hubungan mereka akan berhasil.

“Kami pun sebenarnya tidak jangka hubungan kami ini akan sejauh ini. Kami meletakkannya pada takdir.

“Kalau ada, ada, kalau tiada pun kami terima sebab kita semua tahu setiap kehidupan itu jodohnya Allah yang tentukan.

“Kalau kita nak sangat macam mana sekali pun tetapi jodoh itu Allah tak tentukan, maka tiadalah. Begitu juga sebaliknya,” ujarnya.

BACA: “Selepas Lima Bulan Baru Dia Balas” - Detik Perkenalan Shuib & Watie Bermula Dari DM Ucapan Takziah

BACA: Shuib, Watie Nikah 23 Jun 2023 Tanpa Majlis Resepsi, Syukur Dapat Tajaan RM1.7 Juta


Terdahulu, Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu dalam sebuah majlis tertutup.

Shuib dan Watie kumudiannya tampil mengumumkan mereka bakal berkahwin pada 23 Jun ini.

Hasil persetujuan kedua-dua belah pihak, Shuib dan Watie hanya akan mengadakan majlis akad nikah sahaja tanpa sebarang majlis resepsi.

Sekadar info, Shuib berkahwin dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.

Namun, Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
#Kahwin #Netizen #Shuib #Watie Hanifiah #Watie Shuib
;