Pendakwah Ustazah Asma' Harun tampil menegur muzik video milik penyanyi Ayda Jebat berjudul Parah yang kini trending di YouTube.

Kata Ustazah Asma', beliau terkejut dengan penghasilan muzik video terbabit yang memaparkan penari iringan separuh bogel serta tarian mengghairahkan.

"Sungguh saya pernah suka dengan bakat dan dirinya.

"Sungguh, saya terkejut dan terduduk sayu, atau mungkin kerana saya yang ketinggalan banyak muzik video seumpama ini.

"Namun seingat atau setahu saya, belum pernah saya melihat muzik video yang dihasilkan oleh artis Melayu Islam hingga tahap ini.

"Ini satu musibah ummah yang parah, tatkala kita masih dalam belenggu cengkaman pandemik yang semakin parah, kalian menghasilkan sebuah muzik video yang menampilkan penyanyi dan penari iringan yang separuh bogel, dengan rentak dan lenggok tarian yang menggairahkan seperti tarian lucah, maaf ia sungguh memalukan!" katanya menerusi entri di Facebook.




Tambah beliau, pembikinan muzik video terbabit tidak wajar dalam konteks Islam mahupun adat Melayu.

"Sungguh dukacita ini bertambah, dalam situasi musibah pandemik dan pelbagai tanda akhir zaman dan kiamat semakin hampir, janganlah kalian menjadi sebahagian daripada penyubur fitnah akhir zaman.

"Saya tahu kamu adalah seorang muslimah, saya tak pasti samada penari iringan islam atau tidak. Saya juga tak pasti, penerbit, pengarah, penyunting, penulis lirik, koreografi tarian dan semua pihak yang terlibat muslim atau tidak, namun kalian semua terlibat.

"Saya yakin kalian melakukan ini dalam keadaan tahu dan faham bahawa klip video muzik tersebut adalah sesuatu yang tidak wajar samada dari sudut Islam ataupun adat Melayu kita yang penuh sifat malu, lembut dan sopan. Ia jelas adalah satu dosa yang besar," ujarnya.

Justeru, Ustazah Asma' menyarankan agar muzik video berkenaan dipadamkan dari platform berkenaan.

"Semoga dirimu kuat untuk padam video tersebut, sebelum ia mengambil bahagian tenang hidupmu, saat tidur malam, dosa masih berjalan.

"Saya pasti kos penghasilannya sangat tinggi, kerugian tak boleh lari, namun ia amat berbaloi untuk nilai syurgaNya.

Maaf saya lakukan teguran ini secara terbuka, saya lihat sudah ramai yang menegur dan mengkritik video klip tersebut secara terbuka, bahkan di kalangan fans kamu sendiri mereka rasa tidak senang, teguran di media sosial kamu sendiri juga tidak diendahkan, bahkan dijawab dengan tidak rasa bersalah.

"Namun saya tetap meletakkan sangkaan bahawa mungkin juga kamu tersilap untuk percaturan kali ini, terutamanya bahagian penari iringan, Kerana kamu sendiri penampilan yang tidaklah keterlaluan.

Muzik video Parah telah mendapat 1.5 juta tontonan sejak dimuatnaik di YouTube pada 29 Disember lalu.

Sumber: Facebook Ustazah Asma' Harun