Pelakon dan pelawak Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet menegaskan dia bukanlah pengedar barangan terlarang seperti yang dikatakan dalam sebuah video yang tular di laman sosial.

Menurut Lan, dia yang ketika itu berada di Alor Star, Kedah sedang membuat penghantaran produk keluaran terbarunya iaitu krim kesihatan lelaki yang dibeli oleh seorang lelaki.

Dia turut memaklumkan perkara itu bukan gimik seperti yang diperkatakan oleh wargamaya.

“Saya bukan jual benda terlarang, saya bukan orang macam tu. Saya bukan buat gimik. Orang yang viralkan tu yang salah faham. Pakcik ni nak beli barang tapi dia orang tua yang tak tahu nak beli secara online.

“Kalau saya nak saman orang, boleh. Nak bagi sampai dia muflis pun boleh cuma saya tak mahu melibatkan periuk nasi dia. Malah pihak guaman saya menasihatkan agar saya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap perakam video tersebut.

“Saya maafkan semua yang telah melemparkan kata-kata negatif kepada saya, keluarga dan ibu bapa saya,” kata Lan kepada Gempak.

Lan ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, sebentar tadi.

Tambah Lan, walapun insiden itu sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya, perakam tersebut telah pun memohon maaf dan bertindak memadam video yang telah tersebar itu.

“Tolong jangan aibkan orang. Kalau nak amik video tu, amik full video takpa, saya tak marah. Jangan amik sekerat-sekerat yang boleh mengaibkan saya.

“Pasal benda ni, orang maki mak dan arwah bapa saya, saya terima dengan sebulat-bulatnya. Malah penasihat guaman saya meminta untuk saya tidak melakukan perkara bodoh kerana mereka semua adalah penyokong saya, penyokong kumpulan Senario.

“Kepada semua netizen, berhentilah membuat andaian yang negatif yang boleh mencemarkan reputasi saya. Kepada semua pengikut yang memberikan sokongan dan semangat, terima kasih dan semoga Allah menaikkan darjat anda semua,” jelasnya lagi.

Dalam rakaman yang tular beberapa hari lalu, seorang individu didakwa pelawak popular dikaitkan dalam satu urusan jual beli dengan seorang penunggang motosikal.

Individu yang dikatakan mirip salah seorang pelawak terkenal itu tiba-tiba mengamuk apabila menyedari urusan yang dilakukan itu sedang dirakam.