Patah Tulang Selangka & Belikat, Pelakon Senior Yusmal Ghazali Kemalangan

Amri Hassan
Januari 9, 2019 09:46 MYT
Pengarah dan pelakon senior, Yusmal Ghazali cedera apabila motor yang ditunggang bersama anaknya terbabas apabila cuba mengelak sebuah kereta di kawasan rumahnya baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut tentang kemalangan tersebut, Yusmal ketika itu dalam perjalanan ke rumah ibunya bersama anak bongsunya, Mya Aisha.
"Saya dalam perjalanan ke rumah ibu saya untuk menghantarkan makanan.
"Sepatutnya perjalanan itu mengambil masa dua minit tetapi ia menjadi perkara paling tragis buat keluarga saya.
"Kami menunggang skuter namun apabila tiba di satu simpang, sebuah kereta melintas namun dia terpaksa berhenti di tengah-tengah jalan kerana ada sebuah lagi kenderaan lain.
"Saya membrek dan cuba mengelak daripada melanggar kenderaan itu namun saya hilang kawalan dan motor saya jatuh.
"Saya tercampak ke atas jalan raya dan 'mendarat' dengan bahu kanan saya.
"Apabila saya bangun, saya melihat anak saya, Mya sedang berdiri dengan kesan calar pada badannya," cerita Yusmal menerusi sebuah entri di Instagram.
Kesan daripada kemalangan itu, Yusmal patah tulang selangka, belikat dan retak rulang rusuknya.
"Saya patah tulang selangka dan tulang belikat. Manakala tulang rusuk saya retak.
"Mujurlah, Mya tidak mengalami sebarang kecederaan serius atau patah tulang," tambahnya.
Yusmal menganggap kemalangan itu ujian daripada Allah dan bersyukur diberikan peluang untuk bersama-sama keluarganya.
"Terima kasih atas doa dan ucapan anda. Ini ujian daripada Allah untuk saya tempuhi.
"Saya bersyukur masih bernafas dan anak perempuan saya pun akan segera sembuh," kata Yusmal lagi.
Pelakon itu kini masih dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Damansara.
Foto: @yusmalg, @nash_idrus
#pelakon #Kemalangan #Pelakon #Yusmal Ghazali