Pelakon dan pempengaruh, Sharifa Rose akhirnya menukarkan nama produk keluarannya dari Sekuntum kepada Harīrose selepas terpalit dengan kontroversi tuduhan menciplak jenama lain.

Kata Rose, 23, pihaknya mengambil masa dua minggu untuk menjenamakan semula produk yang telah mula beroperasi sejak awal tahun ini.

"Perubahan jenama ini disebabkan isu yang berlaku sebelum ini. Kami jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran. Pihak kami ada hubungi individu itu dan dia nak kekalkan nama jenamanya.

"Jadi saya dan team pun ambil keputusan untuk tukar nama jenama selari dengan pelancaran koleksi raya terbaharu. Memang ambil masa yang agak lama juga nak brainstorming idea nama baharu.

"Kami ambil masa dua minggu juga nak dapatkan nama itu. Bila suggest nama, kami akan periksa dulu dekat semua platfrom agar tiada jenama yang sama menggunakan nama itu.

"Nama 'Rose' pula memang ramai yang guna... kali ini memang kami lebih berhati-hati. Kesilapan yang sebelum ini dijadikan pengajaran," katanya.

Rose tampil mengumumkan nama baharu produknya iaitu Harīrose serentak dengan pelancaran koleksi raya di Instagram pada Jumaat.

Mengimbas semula, sekitar Februari lalu, seorang pengguna Twitter mendakwa Rose telah meniru nama produk lokal dengan ejaan nama Sekuntum. Lebih mendukacitakan apabila logo Sekuntum juga menyamai dengan logo produk yang sudah sedia ada di pasaran dengan tiga kelopak bunga.

Namun, Rose menjelaskan tidak menyedari kewujudan jenama yang diperkatakan itu sehinggalah dimaklumkan sejurus selepas melancarkan video promosi produknya di Instagram.

Dalam perkembangan sama, Rose melancarkan koleksi tudung baharu bertemakan 'serasi' yang menampilkan lima rekaan sempena kedatangan Syawal.

"Insya-Allah tak akan timbul lagi isu 'ciplak' atau tiru. Koleksi kali ini kami memilih tema 'serasi' memandangkan tahun ini kita dapat beraya bersama keluarga dan rakan-rakan," ujarnya.