Selebriti media sosial Faizdickie memecah stigma sesetengah masyarakat yang membenci anjing dengan mengumpul sumbangan bagi membantu haiwan berkenaan.

Sumbangan berkenaan disalurkan kepada Persatuan Sukarelawan Penyelamat Haiwan (MIAR) apabila anjing yang mendiami penempatan tersebut berisiko untuk hilang tempat tinggal.

Namun, apa yang lebih mengagumkan, kutipan tersebut berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM30,500 dalam tempoh tiga hari daripada pengikut laman sosial Instagram miliknya atau lebih dikenali sebagai #villagepeople.

Faizdickie atau nama sebenarnya Nasrul Faiz Abu Azal berkata, dia terkejut dan terharu apabila dapat mengumpul sumbangan sebanyak itu sekali gus menyelamatkan anjing liar yang berisiko hilang tempat tinggal.

"Minggu lalu saya ada terbaca satu posting di Facebook yang MIAR yang terletak di Puchong, Selangor memerlukan wang tunai RM16,000 untuk membayar sewa tapak.

“Apa yang membuatkan saya sedih adalah sekiranya mereka gagal berbuat dimikian, anjing-anjing liar di situ mungkin akan hilang tempat berlindung.

"Sejujurnya jumlah terbabit agak besar untuk saya bantu, tapi saya percaya #villagepeople mampu membuat keajaiban.

“Alhamdulillah tak sangka pula dalam hanya tempoh tiga hari saya menerima sumbangan lebih daripada jumlah asal diperlukan.

"Saya harap sumbangan yang diberikan kepada MIAR ini dapat menyelamatkan tempat tinggal anjing liar dan membantu keperluan lain," katanya.

Menurut Faizdickie, kebanyakan anjing yang tinggal di pusat perlindungan itu adalah anjing terbiar.

“Ada di antara anjing ini yang cedera, didera, dipukul dan ditinggalkan oleh tuan masing-masing.

“Jika di MIAR mereka dirawat dan dijaga sehingga sihat. Tempat ini juga diuruskan oleh lima orang pekerja yang masing-masing datang dari keluarga miskin dan ibu tunggal.

“Namun mereka memiliki hati yang murni untuk memastikan anjing-anjing ini dijaga dengan baik dan selamat,” katanya.