Pelakon Hisyam Hamid mendedahkan dia punyai cara sendiri untuk memujuk isterinya, Rosmawati Hanafi untuk membenarkannya melakonkan babak romantik dengan pelakon wanita.

Kata Hisham, mereka akan berbincang terlebih dahulu seandainya terdapat babak-babak tertentu yang mungkin mengguris perasaan masing-masing.

"Sejujurnya tipulah kalau seorang wanita itu tidak cemburu jika suaminya berlakon dengan wanita lain tetapi cemburu itu tak melampau.

"Jadi, saya sebagai suami perlu memainkan peranan untuk menambat semula hatinya.

"Biasanya kalau ada babak romantik, apabila balik ke rumah saya akan pegang tangannya dan peluk dia. Dia sendiri akan faham pasti itu cubaan saya untuk memujuk dia." kata Hisyam kepada Gempak.

Hisyam mengulas babak romantik yang dilakonkannya bersama Sherry Alhadad untuk filem televisyen (FTV) Geng sebagai pasangan kekasih.

Namun jelas Hisyam, Sherry dan isterinya merupakan kenalan rapat yang tidak menjadi hal pun apabila mereka berlakon bersama.

"Apabila mendapat skrip, isteri saya yang akan membacanya terlebih dahulu. Dia pun tergelak-gelak juga.

"Katanya tak boleh bayangkan babak mesra saya dan Sherry.

"Oleh kerana selalu berjumpa untuk membuat kerja amal, kami tak kekok apabila bekerja bersama kerana masing-masing sudah faham," jelasnya.

Geng mengisahkan kehidupan tiga sahabat baik yang terpisah selepas tamat persekolahan, Isabella (Sherry Alhahad), Mariam (Lisa Surihani) dan Anita (Nadia Nisa).

Bagaimanapun, mereka dipertemukan semula disebabkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Hisyam pula memegang peranan sebagai kekasih Sherry bernama Alex yang terbabit dalam aktiviti jual beli dadah.

Geng sudah mula ditayangkan di Astro First Eksklusif sejak 18 Julai lalu.