Pelakon yang dipercayai menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh ditahan polis, semalam bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 29 tahun terbabit ditahan kira-kira 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagaimanapun, katanya, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

"Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan mangsa, dua saksi dan suspek.

"Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, polis juga sudah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan disahkan mangsa mengalami kecederaan di pipi.

Selain itu, kata beliau, polis akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok, bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro