Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Pelakon Dulu Rapat Macam Adik-Beradik, Pelakon Sekarang Ada Yang Sombong" - CEO Finas

Amri Hassan
16/11/2022 05:55 MYT
Tidak dapat dinafikan, paras rupa yang cantik menjadi faktor utama dalam pemilihan pelakon di persada seni tanah air sejak dulu.

Namun, paras rupa yang cantik semata-mata tanpa disertai bakat tidak cukup untuk seseorang pelakon menempa nama dalam bidang seni.

Itulah topik hangat yang dibincangkan dalam forum Antara Cantik dan Bakat? Di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? yang berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor baru-baru ini.

Forum ini dianjurkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan FSKK, UKM sempena menyemarakkan penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) KE 32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember depan.

Barisan ahli panel yang diundang mengupas topik itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim; Ahli Jawatankuasa, Persatuan Penerbit Filem Malaysia yang juga Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam dan Seniwati veteran, Noor Kumalasari.

Tidak ketinggalan, penampilan dua pendatang baru meningkat naik dalam industri hiburan, Sharifah Rose dan Hariz Hamdan serta aktor Fahrin Ahmad sebagai moderator.



Majlis pelancaran forum disempurnakan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa. Hadir sama, Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan Penerbit A Aida Production, Datuk A Aida.

Rata-rata ahli panel yang diundang sepakat paras rupa yang cantik harus seiringan dengan bakat dalam misi untuk menjadi pelakon hebat di pentas lakonan.

Menurut Prof Dr Md Nasir, pemilihan pelakon yang cantik untuk watak utama sudah dipraktikkan sejak dulu.

"Antara pelakon yang cantik pada zaman dulu ialah Seniwati Maria Menado, Zaiton dan Roseyatimah. Pemilihan pelakon yang cantik dan kacak diperlukan untuk watak hero.

Namun, pemilihan pelakon utama juga dibuat menerusi uji bakat dan bukan sekadar cantik semata-mata.

"Ada juga pelakon yang mewarisi bakat lakonan dari ahli keluarga seperti Noor Kumalasari dan Fauziah Datuk Ahmad Daud," katanya.

Kata Md Nasir lagi, bukan saja paras rupa dan bakat tetapi sikap seseorang pelakon juga memainkan peranan penting untuk menjadi pelakon yang bagus.

"Pada pemerhatian saya, pelakon pada zaman dulu, hubungan mereka rapat seperti adik beradik dan mereka menetap di kuarters yang sama pada zaman Show Brothers.

"Pelakon dulu juga sangat menjaga aspek disiplin kerana sikap memainkan peranan penting untuk berjaya dalam bidang lakonan. Berbeza dengan pelakon baru zaman sekarang yang bersikap sombong.

"Sebagai pelakon baru, mereka boleh menggilap bakat lakonan dengan menimba ilmu dengan mereka yang lebih berpengalaman," katanya.

#pelakon #Viral #Kontroversi #FINAS #CEO #Prof Dr Md Nasir
;