Pelakon Maut Kemalangan Berhampiran LRT UITM Shah Alam, Keluarga Cari Rakaman Dashcam
Keluarga pelakon dan penyanyi, Parvin Nair Surendran yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 9.9 Lebuhraya Persekutuan, pada 7 Ogos lalu, merayu pengguna jalan raya yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) supaya tampil membantu siasatan.
Adik mendiang, S Yesotha berkata, kemalangan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, itu berlaku antara pukul 8 hingga 9.30 malam, ketika abangnya menunggang motosikal menghalan ke Kuala Lumpur.
Setakat ini katanya, usaha mengesan rakaman kamera papan pemuka belum berjaya.
"Belum ada mana-mana pihak yang tampil, kami merayu jika ada yang melalui kawasan tersebut pada waktu berkenaan sila semak rakaman dashcam," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Jumaat.
Menurut Yesotha, pemergian Parvin amat dirasai lebih-lebih lagi mendiang merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu. Mendiang mempunyai tiga kakak dan seorang adik perempuan.
"Saya baru sahaja berkahwin bulan lepas, kira-kira beberapa minggu yang lalu. Dialah (Parvin) yang menguruskan segala-galanya untuk saya," ujarnya.
Parvin, 33, yang baru mendirikan rumah tangga dengan Gangie Esshini pada Mac lalu, ditemukan orang ramai dalam keadaan tidak bernyawa selepas terlibat dalam kemalangan, sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada polis.
Mendiang juga pernah membintangi drama Kalyanam to Kadhal dan Manmadha Bullets terbitan Astro dan filem Dhanussh.
Populariti Parvin dilihat semakin meningkat selepas membintangi drama tersebut, sekali gus melonjakkan namanya dalam industri hiburan tempatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Yesotha di talian 012-2539309 dengan segera.
Sumber: Astro AWANI