Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pelakon Squid Game Menang Golden Globes Ke-79, Ogy Ahmad Daud: “Tak Perlu Juta-Juta Followers”

Izwan Isa
11/01/2022 09:03 MYT
Semalam menyaksikan sejarah tercipta di Hollywood apabila pelakon asal Korea Selatan, Oh Young Soo menerima anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di majlis anugerah Golden Globes Ke-79.

Young Soo menerima pengiktirafan tersebut selepas berjaya mencuri hati juri menerusi watak Oh Il Nam dalam drama bersiri popular lakonannya, Squid Game yang ditayangkan di Netflix.

Pelakon berusia 77 tahun itu mengalahkan pesaing-pesaing terdekat seperti Billy Crudup dan Mark Duplass menerusi siri The Morning Show; Kieran Culkin (Succession) dan Brett Goldstein (Ted Lasso).

BACA: Steady, Pemain 001 Squid Game Menang Golden Globes Pada Usia 77 Tahun

Kejayaan Young Soo tidak hanya diraikan oleh peminat-peminat di Korea Selatan sahaja, malah rasa bangga itu turut dikongsi sama oleh penonton Squid Game di seluruh dunia.

Pelakon berbakat besar, Fauziah Ahmad Daud juga tidak terkecuali. Menerusi akaun Instagramnya, Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy dilihat turut memuji kredibiliti Young Soo menerusi kemenangannya itu.

“Ni baru aktor hebat, terus menang Best Supporting Actor Anugerah Golden Globe 2022. Tak perlu juta-juta followers.

“Mutu lakonan dan fahaman watak menambat para juri Hollywood, menganugerahkan Oh Young Soo, pelakon drama bersiri Squid Game.

A post shared by Fauziah Ahmad Daud (@kak_ogy)


“Takda pun dia terima panggilan ‘otai’. Tapi dia dihormati sebagai aktor senior yang dihargai bakat, pengalaman, ilmu yang ada pada dirinya,” ujar Ogy.

Menerusi ruangan komen, kelihatan masih ada segelintir yang memanggil pelakon yang berpengalaman dengan panggilan otai. Namun, sekali lagi, Ogy menegaskan supaya tidak terus menggunakan perkataan itu untuk memanggil artis yang lebih senior.

“Apa duk suka panggil pelakon senior ‘otai’? Tak ada dalam kamus perkataan tu. Boleh tak sebut sahaja pelakon senior. Tak susah kan,” tegasnya.

Sepanjang karier, Ogy telah beberapa kali menerima pengiktirafan daripada Festival Filem Malaysia. Antaranya Pelakon Harapan Terbaik menerusi filem Ceritaku Ceritamu, Pelakon Wanita Terbaik (Ali Setan) dan Puteri serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Langit Cinta).
#Ogy Ahmad Daud #Squid Game #Golden Globes #Oh Young Soo
;