Pelakon Wanita Thailand Rugi RM131,000 Dicuri Pembantu Rumah
Seorang pelakon wanita Thailand mengalami kerugian hampir satu juta baht (kira-kira RM131,000) selepas pembantu rumahnya mencuri wang tunai secara berperingkat selama tempoh setahun.
Mangsa, Nathalie Devies bersama suaminya membuat laporan polis pada 10 Julai lalu selepas menyedari kehilangan wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing dari rumah mereka di Suan Luang.
Pasangan itu difahamkan menyimpan wang berkenaan di bawah rak patung Buddha di kediaman mereka.
Menurut Nathalie, mereka mula mengesyaki pembantu rumah terbabit apabila jumlah kehilangan wang menjadi semakin ketara.
Jelasnya, wanita tersebut telah bekerja dengan mereka sebagai tukang cuci dan pengasuh anak sejak lebih setahun lalu dari Isnin hingga Jumaat.
Bagaimanapun, pembantu rumah itu tidak lagi hadir bekerja selepas mereka mula menaruh syak wasangka terhadapnya sekali gus menguatkan lagi firasat pasangan itu.
Wanita itu dibawa ke balai polis dan mengaku mencuri wang berkenaan sambil menangis menyatakan bahawa dia bertindak demikian kerana tamak walaupun telah menerima layanan baik daripada majikannya.
Dalam sesi soal siasat, suspek mendakwa mencuri wang itu untuk melunaskan hutangnya di Laos, namun pihak polis percaya jumlah wang yang dicuri melebihi amaun sebenar hutang berkenaan.
Siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa sebahagian daripada wang itu digunakan untuk tujuan pembedahan kosmetik serta diberikan kepada teman lelakinya.
Lebih mengejutkan, menurut laporan Channel 7, wanita yang dikenali sebagai Pennapha itu pernah bekerja dengan seorang lagi pelakon Thailand dan turut mencuri ketika berada di rumah tersebut.