Penyanyi dan pelakon, Noki masih lagi dirawat di sebuah hospital di Shah Alam selepas tekanan darah dan kandungan plateletnya turun dengan mendadak akibat diserang demam denggi.

Menurut pengurus Farahrizan Razak, Noki kini sedang mendapatkan rawatan rapi bagi memulihkan keadaannya sementara pihak hospital pula tidak membenarkan sesiapa untuk datang melawat kerana khuatir jangkitan COVID-19.

“Buat masa ini, doktor masih memantau keadaan Noki untuk mengembalikan bacaan normal pada platelet serta tekanan darah.

“Justeru, saya berharap agar peminat dan orang ramai dapat mendoakan agar segalanya dipermudahkan dan kesihatan Noki kembali seperti sedia kala,” ujarnya kepada Gempak.

A post shared by NOKI K-CLIQUE (@ikhwanlee94)


Ditanya mengenai punca anggota kumpulan K-Clique mendapat jangkitan demam denggi itu, Farah berkata, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa memandangkan Noki berada di lokasi penggambaran terbuka sejak beberapa minggu lalu.

BACA: “Doakan Saya Ya” - Noki K-Clique Masuk Hospital, Hidap Denggi Tahap Bahaya

“Sejak kerajaan membenarkan anak seni menjalankan semula penggambaran, Noki telah mula bekerja untuk menyiapkan drama Oh My Hantaran. Lokasi utama di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor.

“Benda nak jadi kan? Lagipun dia berada di tempat terbuka. Pelbagai jenis serangga ada. Apa yang kami harapkan adalah Noki cepat sembuh. Hal ini kerana, dia ada beberapa tanggungjawab yang perlu dia laksanakan,” ujarnya lagi,

Terdahulu, Noki atau nama sebenarnya, Ahmad Ikhwan Aji, 27, mengalami gejala demam. Setelah mendapat keputusan negatif COVID-19, Noki menyambung semula penggambaran drama Oh My Hantaran tersebut.

Namun, keadaan Noki bertambah teruk apabila wajahnya bertukar pucat dan pihak produksi meminta dia mendapatkan rawatan susulan di klinik berdekatan.

Hasil daripada pemeriksaan doktor, Noki disahkan menghidap demam denggi dengan keadaan platelet rendah dan tekanan darah juga rendah.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!