Baru-baru ini, tular di laman sosial video yang memaparkan pemain skuad Harimau Malaya yang dipercayai meraikan kejayaan kemaraan mereka ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di sebuah kelab malam.

Sungguhpun ia kelihatan seperti satu keraian yang normal selepas kemenangan, namun, masih ada yang mempersoalkan bahawa kehadiran pemain beragama Islam yang turut berada di lokasi sama bersama pemain lain seperti Junior Eldstal, La’Vere Corbin-Ong, Dominic Tan dan Darren Lok.

Memetik laporan portal HarimauMalaya, Junior menjelaskan yang video berkenaan merupakan satu salah faham sahaja.

"Saya tahu ramai salah faham dengan video tersebut terutamanya di sini (Malaysia) yang boleh memperlihatkan tidak baik.

"Saya tidak boleh komen dengan lebih lanjut mengenai video itu tetapi terdapat pemain-pemain bukan Muslim bersama.

"Apabila sesuatu yang berlaku seperti ini iaitu berjauhan dengan keluarga dan rakan selama sebulan dan kemudian berjaya mengecapi kejayaan ia satu momen yang cukup bahagia untuk kami keluar dan meraikannya," katanya.

Mengutip komen-komen netizen di laman sosial, ramai yang melihat hal itu sebagai satu perkara yang tidak perlu diperbesarkan.

“Dah menang pergi celebrate apa salahnya… Bukan depa pergi makan rasuah.”

“Give them a chance lah to celebrate, what's the issues here?”

“Orang tak bising pasal celebrate, orang bising pasal player Melayu Islam celebrate kat kelab malam. Kalau semua non-Muslim dalam video tu takda isu pun aih…”

Terdahulu, Harimau Malaya berjaya menamatkan kemarau penantian 42 tahun untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.