HIBURAN
Pemenang Anugerah Seri Angkasa, Umar Shakur Kongsi Proses Jiwai Watak Dalam Abah Saya Uncle Mike– “Kena Tiru Cara Cakap & Gerak-Geri Orang Sebenar”
Pelakon cilik berbakat, Umar Shakur yang pernah meraih gelaran Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2024, kini tampil dengan cabaran baharu apabila diberi kepercayaan memegang watak Rahman, anak bongsu dalam filem terbaharu berjudul Abah Saya Uncle Mike.
Mengakui projek itu cukup bermakna, Umar berkata dia memberi sepenuh usaha bagi menjayakan watak berkenaan.
“Umar agak teruja juga dengan hasil filem ini sebab persediaan kami pun lama dan Umar letakkan sepenuh usaha dalam karakter ini.
“Ini kali kedua Umar pegang watak utama dan kali ini pula bersama Astro Shaw, memang agak besar untuk Umar. Jadi Umar cuba buat sebaik mungkin.
“Umar dah buat apa yang termampu dan harap hasilnya memuaskan,” katanya.
Tambahnya lagi, dia turut dia mengikuti kelas lakonan selama lebih sebulan selain berjumpa dengan individu sebenar yang dijadikan rujukan.
“Kami ada kelas lakonan yang berlangsung lebih sebulan. Lepas itu kami buat nota dan juga berjumpa dengan Rahman sebenar.
“Dekat situ Umar tengok cara dia bercakap, intonasi, gerak-geri dan semuanya. Lepas itu Umar cuba tiru balik untuk hidupkan watak Rahman,” ujarnya.
Filem Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Ghazali bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos ini.
Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu sejak kecil, lengkap dengan kasih sayang dan bimbingan rohani termasuk penghormatan terhadap agama Islam.
Dedikasi Uncle Mike turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas jasa dan pengorbanannya yang luar biasa.
Terbitan Astro Shaw bersama Etika Sdn. Bhd., Abah Saya Uncle Mike mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa. Ia dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, dan turut menggunakan tiga bahasa, Melayu, Mandarin dan Kantonis.
Sinopsis.
Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah. Dalam perjuangan menyatukan semula keluarga, mereka dipertemukan dengan Uncle Mike, lelaki Cina berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.
Filem ini menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, dan kasih sayang sejati tidak mengenal kaum mahupun agama.
Must-Watch Video