Pelakon dan penerbit, Datuk Afdin Shauki menafikan adiknya, Allahyarham Jefri Adzman Aksan terlibat dalam insiden langgar lari.

Menurut Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan, video yang dimuat naik oleh dirinya di laman sosial untuk mencari bukti insiden yang mengorbankan nyawa adiknya itu adalah untuk mendapatkan pengesehan tentang apa sebenarnya yang terjadi.

"Sehingga kini, saya dan keluarga sendiri masih tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku ketika insiden terjadi. Kami sangat terkejut apabila mendapat tahu Jefri terlibat dalam kemalangan dan cedera parah.

"Ketika itu, Jefri menaiki motosikal jenis vespa berwarna jingga dan ia membabitkan kereta jenis Myvi berwarna hijau. Setakat ini, ada beberapa saksi kata, kejadian berpunca daripada arwah adik saya... Ada juga yang mengatakan sebaliknya," kata Afdlin.

BACA: Adik Afdlin Shauki Meninggal Dunia

BACA: Cari Bukti Atau Saksi Kemalangan Adiknya, Afdlin Shauki Minta Bantuan Orang Ramai

Afdlin ditemui di majlis doa selamat, bacaan Yassin dan tahlil untuk arwah adiknya di Puncak Setiawangsa malam tadi.

Tambah Afdlin, pemandu Myvi itu juga sudah membuat laporan polis.

"Dia sudah membuat laporan dan mengatakan insiden terbabit bukan berpunca daripadanya. Menurut laporan pemandu itu, adik saya yang bersalah. Tetapi tiada bukti lanjut. Sebab itu, kami mahu mencari bukti lain agar kami tahu apa sebenarnya yang terjadi.

"Saya dan keluarga mencari bukti visual, jika ada sesiapa yang memiliki 'dashcam' di dalam kereta dan sempat merakam apa yang terjadi ketika insiden berlangsung.

"Setakat ini, ada saksi tampil ke hadapan tetapi hanya sekadar bukti lisan sahaja. Jika wujud bukti berbentuk visual, perkara terbabit boleh jadi bukti yang kukuh.

"Kami juga ingin menegaskan apa yang dilakukan sekarang bukanlah kerana mahu membuktikan siapa betul dan siapa salah... Ia juga tiada kena mengena dengan tindakan undang-undang.

"Kami reda dan menerima apa yang terjadi, kemalangan yang berlaku itu sudah ketentuan takdir dan menjadi asbab adik kami pergi. Cuma, kami hanya ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana kami sangat terkejut... Dia pergi sevara tiba-tiba," kata Afdlin lagi.