Cuaca cerah seawal pagi menandakan petanda baik buat 4000 peminat muzik indie yang hadir ke Atas Angin Independet Festival yang berlangsung pada 6 Ogos lalu di Bandar Gamuda Cover, Banting Selangor.

Konsert tersebut telah berlangsung selama 15 jam tanpa henti dengan menyaksikan sebanyak 30 kumpulan artis indie yang mengambil bahagian termasuk band terkenal seperti Bunkface, OAG, Salamusik, Grey Sky Morning dan ramai lagi.

Melihat reaksi peminat yang tidak berhenti melompat saat konsert berlangsung sudah cukup membuktikan kejayaan yang dilakarkan Atas Angin Independent Festival.

Justeru tidak hairanlah, ketika Gempak mendapatkan reaksi peminat yang hadir, rata-rata memberikan respons yang positif.

Taman permainan orang dewasa

Menurut seorang peminat, Syahili Kombi menyifatkan Konsert Atas Angin sebagai sebuah taman permainan buat dia dan rakan-rakan untuk mengisi waktu lapang.

“Tujuan saya datang sudah semestinya untuk layan persembahan band-band yang buat persembahan, barisan- barisan band yang ada memang hebat-hebat.

“Saya boleh anggap, konsert Atas Angin adalah taman permainan untuk saya yang sudah dewasa untuk bergembira dan mengisi waktu lapang bersama rakan-rakan lain.

“Selepas penat bekerja, sesekali datang konsert hiburan sebegini mampu lupakan seketika kerja-kerja yang banyak di pejabat dalam masa sama dapat bertukar cerita dengan kawan yang lama dah tak berjumpa,” ujarnya.

Padam stigma masyarakat

Tambah Syahili, biarpun ada segelintir peminat yang menimbulkan masalah ketika konsert, namun stigma buruk tidak seharusnya diberikan kepada peminat-peminat lain.

“Tujuan asal saya dan rakan-rakan datang adalah untuk keseronokkan, tidak sama sekali untuk menimbulkan masalah atau sebarang provokasi di sini. Jadi tiada salah pun untuk peminat datang ke sini.

“Jika ada masyarakat yang memandang negatif kepada kami (peminat muzik indie), itu terletak kepada individu yang membuat salah, tidak perlu memukul rata kepada peminat-peminat yang lain.

“Tidak semua peminat hadir dengan membawa sikap buruk, mereka tahu jaga adab dan kawal pergaulan mereka ketika di konsert,” tambahnya.

Ingin datang lagi konsert akan datang

Sementara itu, menurut seorang lagi peminat, Nur Syuhada menyatakan pengalaman pertamanya ke Konsert Atas Angin jelas memberinya satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Ini kali pertama saya datang konsert Atas Angin. Lepas seharian saya disini memang satu pengalaman yang amat menyeronokkan, kalau selepas ini ada lagi konsert Atas Angin, saya tidak serik untuk datang lagi.

“Saya seronok sangat hari ini dapat jumpa band-band kegemaran saya dan sewaktu persembahan berlangsung saya turut bernyanyi bersama.

“Jika ada lagi Konsert Atas Angin, saya teringin untuk lihat band Insomniacks sertai sekali, sebab mereka juga berbakat dan saya percaya ramai juga peminat indie band yang mengikuti lagu-lagu Insomniacks,” kongsi Syuhada.

Terdahulu Gempak melaporkan Atas Angin Independent Festival berjaya melakar sejarah tersendiri selepas berjaya menganjurkan sebuah festival muzik indie pertama dan terbesar di Malaysia.

BACA: 15 Jam, 30 Artis, Atas Angin Independet Festival Lakar Sejarah Sendiri! Bukti Band Indie Masih Relevan