FILEM
Peminat Bagaikan Histeria! Sambut Wira Qodrat 2, Vino G. Bastian Di KLIA
Pelakon terkenal Indonesia, Vino G. Bastian tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang tadi bagi mempromosikan filem seram terbaharu lakonannya, Qodrat 2.
Ketibaan Vino yang memegang watak utama sebagai Ustaz Qodrat itu disambut dengan sorakan peminat yang memenuhi balai ketibaan KLIA.
Sosok tampan pelakon berbakat itu nyata mencuri tumpuan apabila peminat yang menunggu kelihatan seolah-olah histeria sebaik sahaja beliau muncul.
Menerusi muat naik di Instagram Astro Shaw, Vino tampil mesra menyapa dan meluangkan masa untuk bergambar bersama peminatnya.
Malam ini, Vino dijadualkan menghadiri tayangan perdana Qodrat 2 bersama barisan pelakon lain termasuk Acha Septriasa.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 17 April ini di pawagam seluruh negara.