Kumpulan K-Pop popular, Super Junior merancang untuk melancarkan album terbaru mereka pada 16 Februari ini.

Namun, terdapat perubahan apabila agensi pengurusan mereka, Label SJ mengumumkan pelancaran album itu ditangguh ke 16 Mac 2020.

Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Twitter rasmi Super Junior buat tatapan umum.

"Kepada semua peminat yang menantikan album ke-10 Super Junior dengan penuh kesabaran, kami dengan penuh rasa ikhlas memohon maaf.

"Tarikh pelancaran album ke-10 Super Junior yang sepatutnya dilancarkan pada 16 Februari telah ditangguhkan ke 16 Mac.

"Apa yang telah berlaku adalah di luar kuasa kami, tetapi kami berusaha sedaya upaya untuk bawakan yang terbaik dalam album kali ini.

"Disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan, penangguhan ini dirasakan satu keputusan yang memeritkan untuk Label SJ," tulis agensi pengurusan itu.

Difahamkan, penangguhan itu sebenarnya dilakukan buat kali kedua kerana pada asalnya, album ke-10 mereka yang berjudul The Renaisssance itu sepatutnya dilancarkan bulan lepas.

Super Junior yang kukuh membina nama selama 16 tahun itu dianggotai oleh Leeteuk, Yesung, Heechul, Shindong, Eunhyuk, Donghae, Siwon, Ryeowook dan Kyuhyun.

Antara lagu hit mereka yang menjadi kegilaan peminat adalah Mr Simple, Sorry, Sorry, Bonamana dan banyak lagi.

Kredit Foto : Variety