Selepas melalui beberapa episod kontroversi, pelakon Fathia Latiff kini muncul dengan penampilan baru.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Fathia bersyukur peminat di luar sana menerima kehadirannya dengan baik.

"Setakat ini, saya berjumpa peminat di luar, mereka tak pernah bercakap atau bertanyakan saya mengenai hal peribadi seperti buka hijab dan sebagainya.

"Mereka menghormati saya dan keputusan yang saya lakukan. Mungkin ada netizen yang bercakap buruk tetapi saya tak boleh elak.

"Saya banyak belajar dari pengalaman dan kesilapan yang saya lakukan, jadi saya mahu menjadi lebih serius dalam bidang hiburan selepas ini," katanya kepada Gempak.

Fathia ditemui di majlis sambutan Hari Raya anjuran Indigital di The Port, Damansara yang diadakan baru-baru ini

Tambah pelakon drama bersiri Ariana Rose ini, sukar untuk dia mendedahkan sebab spesifik mengapa dia memilih untuk tidak lagi bertudung.

"Sangat sukar untuk saya jelaskan mengenai perkara peribadi yang terjadi dalam hidup saya. Mengenai sebab sebenar saya buka tudung, saya rasakan lebih baik saya simpan untuk diri saya sendiri.

"Ada perlunya saya menyimpan perkara itu dan tidak diceritakan kepada orang lain. Saya memohon doa yang baik-baik dari semua orang," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Fathia bakal muncul dengan single terbaru yang berjudul Jika Aku Tahu tidak lama lagi.