Aksi penyanyi MK K-Clique meminta salah seorang peminat wanitanya membukakan rantai leher ketika mengadakan konsert baru-baru ini mendapat kecaman ramai.

Dalam video yang tular di TikTok, seorang peminat wanita berhijab yang hadir pada konsert berkenaan kelihatan terketar-ketar cuba menanggalkan rantai leher itu.

"Tolong buka," kata MK sambil menuju ke arah wanita berkenaan.

Selepas berjaya menanggalkan aksesori itu, MK kemudiannya menyerahkannya kepada peminat wanita itu sebagai tanda kenang-kenangan.

Susulan daripada tularnya video berkenaan, pelbagai reaksi dari warganet singgah di laman media sosial pemilik akaun TikTok tersebut.

Ada yang mengaitkan aksi tersebut dengan reaksi peminat apabila bertemu dengan artis antarabangsa seperti Justin Bieber dan bintang k-Pop yang ternyata akan dikecam berbanding artis tempatan.

"Kalau Kpopers buat macam ni kat kpop idol mesti dah berbakul kena maki kan? Tak tahu pula kalau dekat artis local boleh buat macam ni.

"Pasal konsert Justin Bieber bukan main marah tapi bila yang ni? Pelik eh.

"Oo kalau yang ni halal la? Ok faham," demikian tulis beberapa pengguna di ruang komen akaun TikTok berkenaan.