Bagi mereka yang baru kali pertama mengundi, tentunya perasaan teruja untuk membuang undi cukup tinggi.

Bukan sahaja berpeluang menentukan kerajaan yang bakal memerintah, tetapi keseronokan pada hari mengundi itu sendiri sesuatu yang tidak boleh dinafikan.

Bersiap awal pagi, beratur panjang dan bertemu rakan-rakan di pusat mengundi, ia antara perkara yang mengujakan, apatah lagi situasi itu hanya tiba lima tahun sekali.

Antara mereka yang pertama kali mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini adalah penyanyi dan pelakon, Zarul Husin.

Katanya, perasaan teruja sememangnya tidak boleh dinafikan dan dia sudah tidak sabar menantikan tarikh 9 Mei.

"Saya selalu melihat orang lain mengundi. Rasa macam, seronok sangat. Tahun ini, akhirnya saya berpeluang mengundi. Memang tak sabar," katanya.

Zarul, 44 tahun, bekas pramugara, tidak berpeluang mengundi sebelum ini kerana terikat dengan komitmen tugas di awan biru.

"Setiap kali pilihan raya, tarikhnya 'tak kena' dengan jadual saya. Selalu sahaja kena terbang. Memang terkilan juga," ujarnya yang sebelum ini bertugas dengan sebuah syarikat penerbangan mulai tahun 2000.

Biarpun tidak pernah mengundi, Zarul mempunyai pengalaman tersendiri kerana pernah bergelar petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU9 tahun 1995.

"Ketika itu, saya bekerja dengan sebuah agensi kerajaan dan semasa hari pilihan raya, saya antara yang ditugaskan di sebuah pusat mengundi.

"Macam-macam kerenah manusia boleh nampak ketika itu. Mungkin sebab itu, saya tak sabar menantikan hari di mana saya sendiri dapat membuang undi," ceritanya sambil memberitahu, dia tidak dapat mengundi ketika itu kerana usianya belum genap 21 tahun.

Akan mengundi di Shah Alam, Zarul berharap apa pun keputusan pilihan raya kali ini, ia akan membawa kesejahteraan kepada rakyat Malaysia.

"Tak kisah parti mana pun yang dipilih sebagai kerajaan, saya berharap mereka dapat melaksanakan tugas dengan sepenuh hati dan berkhidmat demi rakyat," katanya.

Rabu ini, rakyat Malaysia akan membuang undi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bagi menentukan kerajaan yang menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sumber: Astro Awani
Susunan: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @rz.works