Tindakan seorang penganggur menjual dan berkongsi filem cetak rompak menerusi aplikasi Telegram membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Memetik laporan Kosmo, Hakim Diana Md. Razali menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Fairuzaman Ahmad Bolia, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas lelaki itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan dibawah Akta Hak Cipta 1987.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga orang anak itu didapati dengan cara dagangan mempamerkan kepada awam lima salinan langgaran karya filem melalui aplikasi Telegram ‘Ahmad Faibers’.

Ia ditunjukkan dalam bentuk bergerak termasuk bunyi bagi lima filem hak milik sebuah syarikat penyiaran tatkala hak cipta wujud dan masih wujud bagi syarikat itu

Kesalahan itu dilakukan OKS di sebuah rumah di Taman Desa Melor di sini, pada pukul 10 malam, 18 Mac 2021.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azmil Aspara yang kemudian memohon hukuman sewajarnya dikenakan terhadap OKS.

Menurut Azmil, perbuatan OKS dalam kes itu merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan sekiranya dibiarkan, boleh menyebabkan kerugian yang besar kepada pemilik hak cipta itu dan menjejaskan industri perfileman di negara ini.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadapnya dan memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, Ahmad Fairuzaman membayar denda tersebut.

Sumber - Kosmo