Pengarah Urusan EY Beauty Empire Sdn. Bhd, Zalina Zahari menafikan syarikatnya terbabit dengan pengedaran dadah, susulan penahanan seorang lelaki bergelar Datuk Seri, semalam.

Katanya, lelaki yang ditahan bersama syabu bernilai kira-kira RM5 juta bukan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, seperti tersebar di media sosial.

Sebaliknya kata Zalina sepanjang berurusan dengan lelaki berkenaan, beliau dimaklumkan lelaki itu terbabit dalam perniagaan balak dan kayu gaharu.

"Saya tiada pengetahuan pembabitan lelaki itu dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sehingga dilaporkan semalam.

[[BACA: Siapa Usahawan Kosmetik Bergelar Datuk Seri Ditahan Seludup Methamphetamine Bernilai RM5Juta?]]

"Saya percaya kepada kredibiliti polis untuk menyiasat perkara ini serta menyerahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menyiasat dan menentukan pembabitkan lelaki berkenaan.

"Hari ini, saya juga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu bagi menafikan pembabitan kami dengan aktiviti dadah serta mahu membersihkan syarikat kami yang baru beroperasi Jun lalu," katanya.

Susulan laporan berita yang mengatakan seorang lelaki bergelar Datuk Seri ditahan, warganet mengaitkan individu tersebut dengan syarikat EY Beauty Empire.

"Saya ingin menegaskan lelaki berkenaan tiada kaitan langsung dengan syarikat saya, selain menafikan EY Beauty Empire Sdn Bhd terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Pembabitan lelaki berkenaan hanyalah dua kali, iaitu ketika promosi produk pada Julai dan Ogos lalu. Isteri lelaki berkenaan pula, saya hanya dikenali ketika berurusan dengan sewaan dewan dan meminta bantuan saya untuk mengeluarkan produk kosmetik," katanya.

[[BACA: Fakta Kes Dadah Usahawan Kosmetik Viral, 'Datuk Seri' Rambut Perang Jadi Sasaran Netizen!]]

Tambah Zalina, EY Beauty Empire masih lagi kekal menjalankan perniagaan berasaskan kosmetik dan minuman serta tidak sesekali terbabit dalam menyokong mana-mana individu yang menjalankan aktiviti bertentangan dengan undang-undang.

"Saya juga memohon pengguna Facebook, Instagram serta media sosial lain untuk berhenti mengaitkan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah dan apa jua kegiatan menyalahi undang-undang.

"Kami menganggap ia fitnah jahat dan boleh menjatuhkan nama baik syarikat serta produk kami pada mata masyarakat.

"Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang melalui saman sivil terhadap mereka yang membuat 'posting' mengaitkan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah. Saya mohon ia dipadamkan segera," katanya.

Media semalam melaporkan, polis menahan lelaki bergelar Datuk Seri dan adiknya di Selangor kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Ahli perniagaan berusia 31 tahun itu dan adik lelakinya yang juga seorang anggota tentera berusia 25 tahun ditahan sekitar jam 4.30 petang Selasa lalu, bersama bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat 126.85 kilogram dianggarkan bernilai RM5 juta.

Sumber: BH Online