Drama
"Penggambaran Babak Opah Aminah Setiap Hari Lebih Dari Sembilan Jam .." - Jurusolek Drama Bukan Gadis Biasa 'Spill The Tea'
Jurusolek drama Bukan Gadis Biasa, Nissa Khan mendedahkan solekan khas yang dilakukan terhadap Sheila Rusly sebagai watak Opah Aminah mengambil masa selama tiga jam.
Jelas Nissa, solekan yang dibuat adalah untuk menampakkan wajah asli seorang opah dan hanya mampu bertahan selama enam jam.
"Saya mengambil masa selama tiga jam untuk makeup Opah Aminah bergantung dengan cuaca dan persekitaran. Apa yang saya pakaikan dekat opah dipanggil prostetik makeup. Silicon peace tak boleh dipakai lebih enam jam sebenarnya sebab apa yang saya buat dekat Opah ini adalah muka asli.
"Untuk penggambaran babak Opah Aminah setiap hari lebih dari sembilan jam. Makeup itu pulak kena elak makan dan juga pergerakan.
"Macam dalam drama tu, babak opah banyak kena makan dan banyak bergerak. Banyak kali juga la produksi kena tunggu saya untuk touch-up balik. Kita kejar masa sebab drama banyak babak," katanya ketika dihubungi Gempak.
Walaupun ini kali pertama Nissa atau nama sebenarnya Mas Qairunissa Mas Fadzillah Khan terpaksa hadapi situasi seperti ini, dia mengambil pendekatan untuk menerima segala komen negatif dengan hati terbuka.
"Jujur saya tak rasa apa bila dikritik sebab saya seorang yang berfikiran terbuka. Bagi saya, saya dah buat terbaik dan berterima kasih dengan pujian yang diberikan.
"Untuk komen negatif, saya okay dan terima dengan baik. Semua komen itu saya anggap sebagai teguran untuk buat lebih baik di masa hadapan.
"Ini kali pertama saya alami situasi macam ini sebab sebelum ini alhamdulillah hasil kerja diterima baik. Tapi kan bagi saya sebelum kerja kita sepenuhnya bagus mesti ada satu yang dikritik.
"Susah untuk kita puaskan hati semua orang. Apapun, yang penting pengarah dan penerbit puas hati dengan kerja saya," katanya lagi.
Drama Bukan Gadis Biasa lakonan Ayda Jebat, Remy Ishak dan Sheila Rusly menjadi buah mulut ramai apabila ada yang tidak berpuas hati dengan kesan solekan watak Opah Aminah yang tidak nampak semulajadi.
Malah, ada yang mempertikaikan pemilihan pelakon untuk dituakan berbanding mengambil pelakon veteran.