Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan i-Sinar kategori 2.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian dalam Pengumuman Pakej Bantuan Khas yang disiarkan secara langsung pada Isnin.

Menurutnya, setakat 13 Januari, lebih 3 juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah 24 bilion ringgit akan disalurkan pada tahun ini.

"Kerajaan dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan i-Sinar kategori 2.

"Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.

"Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, pembayaran untuk permohonan bagi kategori 1 yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.

Kriteria permohonan bagi kategori 1 melibatkan ahli yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Sementara itu, Muhyiddin turut menjelaskan pelaksanaan moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, sepeti yang diumumkan sebelum ini.

Menurutnya, bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.

"Setakat ini sebanyak 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan bayaran dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi PKS," katanya.


Intipati Pengumuman PM Mengenai Pakej Bantuan Khas: